Sidang media tergesa-gesa oleh Rafizi Ramli semalam menimbulkan lebih banyak persoalan berbanding jawapan apabila beliau mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bakal “menyerbu” kediamannya. BACA di SINI.
Kenyataan itu hadir sejurus selepas SPRM mengesahkan menerima laporan berkaitan dakwaan penyelewengan pelaburan bernilai RM1.11 bilion yang melibatkan seorang bekas menteri kanan kerajaan. Walaupun SPRM tidak menamakan individu terbabit, tindak balas Rafizi yang bersifat ‘pre-emptive’ mengundang tanda tanya, mengapa begitu gelabah jika tiada apa yang perlu disembunyikan?
Tumpuan utama dakwaan ini dipercayai berkait dengan satu projek strategik berprofil tinggi melibatkan pembelian akses harta intelek (IP) reka bentuk cip, di mana kerajaan pusat didakwa telah membayar sekitar AS$250 juta (RM1.12 bilion) kepada ARM Holdings Plc, sebuah syarikat semikonduktor gergasi dari United Kingdom. Namun selepas wang rakyat dibelanjakan dalam jumlah yang amat besar, sehingga kini tiada bukti jelas menunjukkan hasil projek tersebut dengan tiada cip, tiada pemindahan teknologi, tiada operasi R&D dan tiada laporan kemajuan rasmi yang boleh dibentangkan kepada rakyat.
Lebih membimbangkan, projek yang kononnya dijanjikan bakal melahirkan 10,000 jurutera tempatan dan 100 jurutera R&D itu kekal sebagai kenyataan kosong. Latihan tidak berjalan, fasiliti tidak beroperasi dan manfaat ekonomi yang diwar-warkan langsung tidak kelihatan?
Adakah projek ini dirancang dengan teliti atau sekadar keputusan tergesa-gesa yang meminggirkan kepentingan negara?
Sumber turut mendedahkan bahawa perjanjian berkenaan didakwa dipaksa dimuktamadkan dalam keadaan tergesa-gesa. Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dilaporkan diarahkan menandatangani perjanjian sebelum 3 Mac 2025, semata-mata untuk memenuhi jadual pelancaran pada 5 Mac 2025. Ini berlaku walaupun terdapat kebimbangan serius daripada MIDA dan MITI mengenai klausa perjanjian yang belum lengkap, risiko tadbir urus, serta pulangan pelaburan yang tidak jelas. Namun amaran tersebut dikatakan diketepikan dengan arahan jelas iaitu teruskan juga tandatangan?
Struktur pembayaran projek ini pula menimbulkan syak wasangka yang lebih besar. Bayaran dibuat secara berfasa dengan USD75 juta sebagai pembayaran awal, diikuti USD25 juta dengan baki mengikut jadual tetapi sehingga kini tiada sebarang hasil dapat ditunjukkan.
Lebih parah, perjanjian tersebut didakwa tidak mengandungi klausa ‘clawback’, bermakna sekiranya projek gagal, wang rakyat tidak boleh dituntut semula. Sebaliknya, jika kerajaan lewat membuat bayaran, penalti sehingga 6 peratus setahun akan dikenakan. Ini perjanjian strategik atau jerat kewangan terhadap negara?
“Taek Jho Low ke dua?”
Nama James Chai, Pegawai Khas kepada Menteri Ekonomi ketika itu turut menjadi fokus apabila beliau dikatakan bertindak sebagai perunding utama dalam rundingan perjanjian tersebut. Apa yang lebih mengejutkan, selepas meninggalkan kerajaan, beliau didakwa dilantik sebagai ahli lembaga pengarah ARM. Dari meja rundingan kerajaan terus ke struktur korporat syarikat antarabangsa dan ini satu situasi yang jelas menuntut siasatan serius berhubung konflik kepentingan dan etika pentadbiran. Benarkah beliau sekarang ‘melarikan diri’?
Tambahan pula, cadangan untuk mempertimbangkan syarikat tempatan seperti Skychip dan Oppstar dilaporkan ditolak tanpa pertimbangan sewajarnya. Malah syarikat antarabangsa seperti Phison dari Taiwan sendiri dikatakan menganggap model perjanjian ARM terlalu mahal dan kompleks, walaupun selepas diskaun puluhan juta dolar. Ini menimbulkan persoalan lain, mengapa pilihan yang lebih munasabah diketepikan dan siapa sebenarnya yang mendapat manfaat daripada perjanjian ini?
Persoalan paling besar kini ialah sama ada Kabinet telah diberikan gambaran sebenar sebelum kelulusan dibuat. Adakah keputusan pembayaran RM1.1 bilion ini dibuat berdasarkan maklumat lengkap atau Kabinet telah dikelirukan?
Lebih mencurigakan, Rafizi meletakkan jawatan sebagai Menteri Ekonomi bukan lama selepas kalah dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR, menimbulkan spekulasi sama ada pengunduran itu didorong oleh kesedaran terhadap kesilapan besar yang sedang menunggu untuk terbongkar.
Akhirnya, isu ini bukan soal podcast, sidang media atau perang persepsi. Ia adalah soal amanah, tadbir urus dan wang rakyat. Jika benar SPRM sedang menyiasat dakwaan penyelewengan dana awam bernilai RM1.1 bilion, maka siasatan mesti dijalankan secara telus dan menyeluruh tanpa perlindungan politik atau pengalihan isu. Rakyat berhak mengetahui kebenaran, siapa bertanggungjawab, bagaimana wang dibelanjakan dan mengapa sehingga hari ini negara masih tidak memperoleh apa-apa daripada pelaburan yang begitu besar.





