PAS Melaka Sokong Mas Ermieyati Kekal Pengerusi PN Melaka?

Melaka Digest
By -
0

Perkembangan politik di Melaka memasuki fasa baharu apabila krisis dalaman Bersatu negeri kini dilihat semakin terbuka. Tindakan Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Melaka, Rahim Tamby Chik bersama beberapa pimpinan kanan negeri menyatakan sokongan terbuka agar Muhyiddin digantikan kepada Timbalan Presiden, Hamzah Zainuddin, jelas menandakan perpecahan serius dalam struktur Bersatu Melaka.


Pendirian terbuka ini sekali gus membuktikan bahawa Rahim Tamby Chik dan Ketua Pembangkang Melaka dalam sidang DUN, Mohd Yadzil Yaakubmyang juga Ketua Bahagian Bersatu Jasin, bukan lagi berada dalam kem Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin. Dalam konteks disiplin parti yang semakin tegas, kedua-dua tokoh ini kini dilihat berada dalam keadaan tidak selamat dengan risiko tindakan disiplin termasuk pemecatan seperti yang telah dilaksanakan terhadap 17 orang pemimpn Bersatu semalam. BACA di SINI.

Sekiranya senario itu berlaku, landskap kepimpinan Bersatu Melaka bakal berubah secara drastik. Tanpa Rahim dan Yadzil, tumpuan kini beralih kepada Mas Ermieyati Samsudin sebagai satu-satunya figura utama yang tinggal untuk menerajui Bersatu Melaka.

Walaupun sumber dalaman mengakui sokongan terhadap Mas Ermieyati dalam kalangan akar umbi Bersatu Masjid Tanah dan negeri tidak sepenuhnya kukuh, beliau dikatakan memiliki satu kekuatan penting iaitu sokongan padu daripada PAS Melaka, khususnya PAS kawasan Masjid Tanah.

Namun, persoalan yang lebih besar ialah kedudukan Pengerusi PN Melaka itu sendiri. Terdapat ura-ura bahawa PAS Pusat sedang mempertimbangkan pelantikan seorang tokoh PAS sebagai Pengerusi PN Melaka yang baharu, sejajar dengan kemungkinan PAS mengambil alih jawatan Pengerusi PN di peringkat pusat. Antara nama yang disebut-sebut ialah Zulkifli Ismail, sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa peranan Mas Ermieyati mungkin terhad kepada Bersatu Melaka sahaja tanpa memegang jawatan Pengerusi PN negeri.

Jika perkembangan ini menjadi kenyataan, ia bakal mengubah keseimbangan kuasa dalam PN Melaka. Mas Ermieyati mungkin kekal sebagai peneraju Bersatu Melaka, namun kuasa sebenar dalam PN negeri berpotensi beralih sepenuhnya ke tangan PAS. Situasi ini bukan sahaja mencerminkan kelemahan dalaman Bersatu, malah memperlihatkan bagaimana PAS semakin dominan dalam menentukan hala tuju politik Perikatan Nasional di peringkat negeri.

Krisis Bersatu Melaka bukan lagi isu dalaman parti semata-mata. Ia telah berkembang menjadi perebutan pengaruh dalam PN dengan PAS muncul sebagai ‘kingmaker’. Persoalan kini bukan sekadar siapa yang akan memimpin Bersatu Melaka tetapi siapa yang benar-benar mengawal Perikatan Nasional di negeri itu dan jawapannya semakin jelas condong ke arah PAS.

Melaka Digest cuba menghubungi kepimpinan PAS Melaka untuk mendapatkan penjelasan terutama dari YB PAS Jasin. 
  
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)