Dalam program 'Reset Politik' hari ini, Hamzah yang tampil sebagai penceramah terakhir terlebih dahulu menerima “Deklarasi Kuala Lumpur” daripada Naib Presiden Bersatu, Ronald Kiandee yang juga penganjur program tersebut dan setakat ini tidak dikenakan sebarang tindakan disiplin oleh parti.
Dalam ucapan beremosi dan berapi-api, Hamzah memohon maaf kepada penyokongnya serta menegaskan bahawa beliau tidak akan membuat rayuan terhadap pemecatannya dengan nada lantang, beliau meluahkan rasa hairan terhadap apa yang berlaku dalam Bersatu, sambil mempersoalkan hala tuju dan kepimpinan parti yang pernah dibinanya bersama.
Beliau turut mengingatkan bahawa kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen masih kekal sambil menegaskan komitmen untuk terus berjuang bersama rakan-rakan Ahli Parlimen yang dipecat. Menurut Hamzah, rakyat tidak menilai kepimpinan berdasarkan latar belakang keturunan atau status agama, sebaliknya mengharapkan pemimpin yang benar-benar memahami masalah di peringkat akar umbi dan berjuang dengan keikhlasan.
"Saya maklumkan pada semua… saya tidak tahu apa yang berlaku! Hari ini saya berucap kerana saya tidak tahu!
"Apa punya hantu! Hantu apa yang ada dalam Bersatu ni?
"Dalam PAT (Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu) saya bangun kata saya orang nombor satu sokong presiden. Hari ni saya nak kata sayalah penentang nombor satu pada presiden!”
"Wahai Bersatu, dengar di sini saya masih lagi ketua pembangkang, ahli parlimen, saya berjuang bersama rakan-rakan saya.
"Apa yang rakyat mahukan, rakyat mahukan kepimpinan demi masa depan mereka, rakyat perlukan perjuangan daripada semua yang ikhlas, yang jujur.
"Rakyat bukan mahu anak tok guru, rakyat bukan mahukan anak ulama, tapi rakyat mahukan pemimpin, yang tahu akan melihat segala masalah di bawah sana,”
Hamzah juga menyentuh dapatan kajian oleh Institut Masa Depan Malaysia (Masa) yang melaporkan peningkatan tahap kepuasan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim. Menyindir kajian tersebut, beliau mendakwa badan pemikir itu dipengerusikan oleh Muhyiddin dan menuduh wujud perancangan politik tertentu termasuk kemungkinan kerjasama dengan Pakatan Harapan.
Sokongan terbuka terhadap Hamzah turut dizahirkan oleh beberapa pimpinan Bersatu yang hadir, termasuk Ronald Kiandee dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin dalam ucapan masing-masing. Barisan bekas pemimpin dan Ahli Parlimen Bersatu yang dipecat turut berada di pentas utama, memperlihatkan solidariti yang jelas terhadap tokoh yang kini berada di pusat pergolakan dalaman parti itu.
