![]() |
| Zulkifli Bujang dan Yunus Nurdin |
Penafian Naib Presiden BERSATU, Ahmad Faizal Azumu atau lebih dikenali sebagai Peja, kini berdepan cabaran serius apabila dua bekas pemimpin kanan BERSATU tampil mempertahankan kesahihan tangkap layar perbualan WhatsApp yang didakwa menunjukkan beliau mendesak BERSATU keluar daripada Perikatan Nasional (PN) serta menyindir parti komponen gabungan itu, dipercayai PAS).
Zulkifli Bujang dan Yunus Nurdin menegaskan bahawa mereka berada dalam kumpulan WhatsApp Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) ketika sindiran itu dibuat. Menurut Zulkifli, penafian Peja tidak masuk akal kerana puluhan ahli MPT menyaksikan sendiri mesej tersebut sebelum berlaku pembersihan besar-besaran terhadap mereka yang tidak sehaluan.
“Saya tak faham kenapa nak nafi sedangkan lebih kurang 50 orang dalam kumpulan MPT itu ada sebelum mereka buang semua yang tak sehaluan. Memang kenyataan itu ada dibuat,” tegas Zulkifli.
Kedua-dua mereka disingkirkan dalam langkah pembersihan dalaman yang menyasarkan kumpulan pro bekas Timbalan Presiden, Hamzah Zainudin yang dipecat pada 13 Februari lalu. Pemecatan itu kini dilihat sebagai pencetus kemelut paling parah dalam sejarah BERSATU.
Tangkap layar yang tersebar luas di media sosial menunjukkan Peja menyifatkan desakan segelintir pemimpin PN dipercayai PAS agar Presiden BERSATU, Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai biadab. Lebih mengejutkan, beliau mencadangkan BERSATU keluar PN dan menyindir bahawa PAS boleh bergandingan dengan “UmDAP”, label sinis yang sering digunakan pihak lawan bagi menggambarkan gabungan UMNO–DAP. Baca di SINI
Semalam, Peja tampil menafikan kandungan mesej berkenaan, mendakwa ia dimanipulasi oleh bekas ahli BERSATU untuk merenggangkan hubungan dengan PAS dan melumpuhkan PN. Namun bagi Yunus Nurdin, penafian itu tidak lebih daripada usaha mengawal kerosakan menjelang mesyuarat luar biasa Majlis Tertinggi PN.
“Beliau tahu tanpa PAS, BERSATU tak akan ke mana,” kata Yunus, sambil mencabar BERSATU keluar PN jika benar itulah pendirian yang dicadangkan Peja.
Mesyuarat PN hari ini yang akan memilih pengerusi baharu berlangsung dalam suasana tekanan maksimum, ketika krisis dalaman BERSATU memuncak susulan pemecatan Hamzah yang juga Ketua Pembangkang.
