![]() |
| Di Rumah YDP PAS Kawasan Masjid Tanah |
Naratif kononnya berlaku pembubaran besar-besaran di BERSATU Masjid Tanah kini dipatahkan oleh penjelasan rasmi Ketua Penerangan BERSATU Pusat, Tun Faisal Ismail Aziz iaitu hanya tujuh cawangan sahaja yang bertindak meninggalkan parti dan ini jauh menyimpang daripada dakwaan Mas Ermieyati Samsudin bahawa beliau disertai 10 cawangan, lebih separuh AJK bahagian serta beberapa ketua sayap. BACA di SINI senarai ketua cawangan dan AJK bahagian yang bersama Mas Ermieyati.
Kenyataan Tun Faisal dibuat secara terbuka melalui komen di status Facebook Timbalan Ketua Bahagian Masjid Tanah, Nazri Ramli. Penjelasan ini bukan sekadar membetulkan angka tetapi menelanjangkan strategi politik yang cuba membesar-besarkan sokongan demi mengabsahkan langkah keluar parti.
![]() |
| sumber |
Lebih penting, Tun Faisal menegaskan bahawa kekosongan jawatan Ketua Bahagian tidak melumpuhkan struktur organisasi kerana Timbalan Ketua Bahagian boleh mengambil alih dan memangku tugas tersebut. Kenyataan ini menafikan cubaan menggambarkan BERSATU Masjid Tanah berada dalam keadaan kacau-bilau, sebaliknya menunjukkan kelangsungan pentadbiran parti masih terjamin dan berfungsi.
Dalam masa yang sama, perhatian tertumpu kepada langkah Mas Ermieyati yang kini dilihat aktif menyusun gerakan bagi memperkukuh hubungan dengan PAS di Masjid Tanah. Perkembangan ini menguatkan persepsi bahawa tindakannya lebih bersifat penyusunan semula kedudukan politik peribadi, bukan berpaksikan penolakan menyeluruh akar umbi terhadap BERSATU.
Hakikat bahawa hanya tujuh cawangan terlibat memperlihatkan satu realiti penting bahawa pengaruh Mas Ermieyati di peringkat bahagian tidak sebesar yang cuba digambarkan. Dakwaan sokongan besar-besaran ternyata tidak disokong oleh angka sebenar di lapangan, malah membuka ruang persoalan tentang keabsahan naratif yang dibina.
Menurut pemerhati politik, episod Masjid Tanah ini bukan sahaja kisah kejatuhan BERSATU, tetapi kisah percaturan seorang pemimpin yang sedang mengukuhkan paksi baharu bersama PAS walaupun belum jelas arah mana parti Mas Ermieyatie akan sertai.

