Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kini berada dalam fasa paling genting sejak penubuhannya apabila gelombang pembubaran bahagian dan peletakan jawatan beramai-ramai terus berlaku yang melibatkan kelompok yang tidak lagi menyokong Muhyiddin Yassin sebagai Presiden dan dikenal pasti sebagai penyokong kuat Hamzah Zainudin. Fenomena ini bukan insiden terpencil, sebaliknya mencerminkan krisis kepercayaan yang semakin parah di peringkat akar umbi.
Terbaharu, ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian Subang dan Pasir Salak mengumumkan peletakan jawatan serta keluar parti selepas mendakwa hilang keyakinan terhadap hala tuju kepimpinan tertinggi. Setiausaha BERSATU Subang, Wan Ahmad Shukrie menegaskan keputusan itu dibuat atas dasar prinsip dan integrity apabila mendapati keputusan pucuk pimpinan tidak lagi selari dengan mandat serta aspirasi akar umbi.
Menurut beliau, masa depan sesebuah parti politik tidak boleh digerakkan demi survival kelompok kecil, sebaliknya mesti berpaksikan kehendak suara akar umbi yang menjadi nadi sebenar kekuatan parti. Kenyataan ini menguatkan persepsi bahawa BERSATU sedang terperangkap dalam krisis legitimasi dalaman, bukan sekadar isu disiplin organisasi.
Kegentingan keadaan turut terserlah apabila BERSATU terpaksa menubuhkan Pasukan Petugas Khas yang dipengerusikan oleh dua Naib Presiden, Radzi Jidin dan Faizal Azumudengan Azmin Ali bertindak sebagai sekretariat. Penubuhan pasukan khas ini secara tidak langsung mengesahkan bahawa parti berada dalam keadaan darurat politik, meskipun sebelum ini pimpinan berulang kali menafikan wujud krisis besar.
Ironinya, ketika kepimpinan pusat mendakwa BERSATU memiliki barisan pelapis yang ramai, realitinya tugas berat kini digalas oleh wajah-wajah baharu yang kurang dikenali dan belum teruji di peringkat akar umbi. Jurang antara naratif pimpinan dan sentimen sebenar ahli semakin melebar, sekali gus mempercepatkan proses perpecahan dalaman.
Di Kedah pula, Pendang mencatat sejarah sebagai bahagian pertama BERSATU yang dibubarkan sepenuhnya. Ketua Bahagian Pendang, YB Razak adalah antara ahli terawal BERSATU (No. Ahli 0000106) membuat pengumuman meletakkan jawatan bersama keseluruhan AJK Bahagian bagi membubarkan BERSATU Pendang. Lebih signifikan, 49 Ketua Cawangan serta keseluruhan AJK Bahagian (kecuali Ketua Bahagian) turut mengisytiharkan keluar parti.
Sumber dalaman parti mendedahkan bahawa beberapa lagi bahagian dijangka menyusul dalam masa terdekat, menjadikan ‘pesta bubar’ ini sebagai ujian paling kritikal terhadap kelangsungan BERSATU.
