Pertuduhan Jenayah Dihadapi Muhyiddin Jadi Liabiliti Besar Kepada Imej Parti - Rahim Tamby Chik

Melaka Digest
By -
0

KENYATAAN BERSAMA KETUA-KETUA BAHAGIAN PARTI PRIBUMI BERSATU MALAYSIA (BERSATU) NEGERI MELAKA

1. Secara kolektif, kami Ketua-Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Melaka berpendirian bahawa parti ini memerlukan pembaharuan menyeluruh serta penstrukturan semula di peringkat pucuk pimpinan demi memastikan kelangsungan dan kekuatan perjuangan parti.

2. Kami melihat kegagalan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden dalam menangani kemelut dalaman parti telah mewujudkan persepsi negatif yang semakin melebar dalam kalangan ahli serta rakyat. Situasi ini secara langsung menjejaskan kewibawaan kepimpinan dan menjadikan prestasi perjuangan BERSATU kelihatan hambar serta rapuh.

3. Tindakan Lembaga Disiplin yang mengenakan hukuman keras sehingga mengakibatkan kehilangan beberapa tokoh pimpinan berpotensi memberi kesan besar kepada kekuatan parti. Presiden juga dilihat terdesak menggunakan saluran disiplin sebagai instrumen membungkam suara kritikal dalam parti. Keadaan ini menimbulkan kegusaran apabila ahli semakin merasakan hak bersuara demi kebaikan parti semakin terhakis.

4. Hubungan antara pimpinan parti komponen, khususnya PAS, juga dilihat semakin tidak harmoni. Sebagai Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin gagal mengurus kemelut di Perlis secara bijaksana sehingga menjadi titik penting keretakan hubungan antara kedua-dua parti.

5. Lebih membimbangkan, tindakan membiarkan pimpinan lantikan menyerang parti komponen secara terbuka bukan sahaja mencerminkan kelemahan pengurusan politik, malah bertentangan dengan semangat persefahaman dan kesepaduan dalam Perikatan Nasional.

6. Akauntabiliti kepimpinan beliau sebagai Pengerusi Perikatan Nasional sekali lagi dipersoalkan apabila wujud kenyataan bercanggah berhubung isu pemansuhan jawatan Pengerusi PN, yang kemudiannya dinafikan secara terbuka oleh PAS. Sehingga kini, selepas lebih sebulan beliau menyatakan hasrat meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN, mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional masih gagal diadakan.

7. Dalam tempoh kurang dua tahun akan datang, negara bakal berhadapan dengan beberapa siri pilihanraya termasuk pilihanraya Negeri Melaka tahun ini. BERSATU dan Perikatan Nasional memerlukan kepimpinan yang berwibawa, dinamik dan berupaya menyatukan semua pihak untuk mengemudi parti menuju kemenangan. Populariti semata-mata bukan ukuran utama untuk menerajui parti; yang lebih penting ialah kecekapan, kestabilan dan kemampuan strategik.

8. Tambahan pula, bebanan pertuduhan jenayah yang sedang dihadapi Tan Sri Muhyiddin pasti menjadi liabiliti besar kepada imej parti. Situasi yang turut melibatkan ahli keluarga beliau menambahkan lagi tekanan persepsi negatif terhadap kepimpinan parti. Tempoh perbicaraan yang panjang bermula Mac hingga Ogos tahun ini dijangka merumitkan gerak kerja serta persiapan parti menghadapi pilihan raya.

9. Ketika parti-parti lain giat memperjuangkan isu rakyat dan menawarkan solusi terhadap permasalahan negara, BERSATU dilihat terlalu terperangkap dalam polemik dalaman. Parti semakin kehilangan hala tuju strategik, terputus daripada denyut nadi rakyat dan terperangkap dalam keghairahan dalaman yang berlebihan sehingga mengabaikan agenda perjuangan yang lebih besar.

10. BERSATU wajar diberikan nafas baharu melalui penggantian pucuk pimpinan kepada barisan kepimpinan yang lebih dinamik, berintegriti, mesra rakyat, berwawasan serta berjiwa patriotik, di bawah teraju Timbalan Presiden, YB Datuk Seri Hamzah Zainudin.

11. Pendirian ini dibuat dengan penuh tanggungjawab demi kelangsungan BERSATU, kestabilan Perikatan Nasional serta masa depan perjuangan yang lebih diyakini oleh ahli dan rakyat. Sekian.


13 Februari 2026

Tan Sri Prof. Dr. Rahim Tamby Chik
Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Melaka
Ketua Bahagian
Bersatu Alor Gajah

YB Dr Mohd Yadzil Bin Yaakub
Ketua Bahagian
Bersatu Jasin

En Ramlan Bin Meon
Ketua Bahagian
Bersatu Tangga Batu

Tn Hj Jeffri Bin Ibrahim
Pemangku Ketua Bahagian
Bersatu Hang Tuah Jaya
  
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)