Bersatu Kota Melaka menegaskan bahawa Rahim Tamby Chik selaku Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Melaka sewajarnya memberi tumpuan penuh kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan bukannya mempertikaikan tindakan Lembaga Disiplin terhadap individu yang jelas melanggar perlembagaan parti.
Menurut kenyataan Ketua Bahagian Bersatu Kota Melaka, Hishamuddin Abdul Karim, dalam keadaan parti memerlukan kestabilan dan kesiapsiagaan, tindakan mempertikai proses disiplin hanya akan mengeruhkan keadaan serta menjejaskan imej kepimpinan negeri.
Beliau berkata, tindakan disiplin yang diambil adalah berasaskan perlembagaan parti dan bukti yang dikemukakan, khususnya membabitkan isu penentangan terhadap keputusan parti dalam pemilihan serta Perhimpunan Agung Tahunan berkaitan kedudukan Muhyiddin Yassin sebagai Presiden parti.
“Di Melaka sendiri, Timbalan Ketua BPN merangkap bekas Ketua Bahagian Hang Tuah Jaya telah dipecat kerana mencetuskan kekecohan semasa PAT 2025. Insiden tersebut memalukan parti dan mencerminkan kelemahan kawalan di peringkat negeri. Kepimpinan yang berwibawa seharusnya mampu mengawal keadaan dan memastikan disiplin dipatuhi,” katanya.
Tambah beliau, sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Rahim dan YB Dr. Mohd Yadzil sepatutnya memahami bahawa Lembaga Disiplin bukan platform politik untuk mempertahankan mana-mana individu, sebaliknya berfungsi menjaga prinsip dan integriti organisasi.
Hishamuddin turut menegaskan bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh Rahim adalah bersifat peribadi dan sama sekali tidak mewakili pendirian rasmi BPN Melaka, memandangkan tiada mesyuarat rasmi diadakan bagi membincangkan serta memutuskan pendirian tersebut.
Beliau juga menyatakan bahawa keputusan melantik Mas Ermieyati Samsudin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional Melaka mencerminkan penilaian terhadap tahap kesiapsiagaan dan keberkesanan kepimpinan negeri dalam menyusun gerak kerja jentera menghadapi pilihan raya.
“Ketika parti lain sedang memperkukuh strategi dan jentera, BERSATU Melaka tidak boleh terus terperangkap dalam polemik dalaman. Fokus utama mesti kembali kepada pengukuhan organisasi, penyatuan jentera serta persiapan menyeluruh menghadapi PRN Melaka,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar kepimpinan BPN Melaka menghormati institusi parti, mematuhi perlembagaan serta menyerahkan sepenuhnya urusan disiplin kepada Lembaga Disiplin tanpa campur tangan atau tekanan politik.
“Keutamaan kita jelas iaitu kestabilan parti, disiplin organisasi dan kemenangan dalam PRN Melaka,” tegas beliau.
