PN: Muhyiddin Turun Jadi Timbalan Pengerusi

Melaka Digest
By -
0

Muhyiddin Yassin hari ini dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), selepas Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar mengambil alih jawatan Pengerusi gabungan itu.


Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Timbalan Pengerusi lain masih lagi kekal dengan jawatan mereka kecuali Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang tidak berhasrat untuk mengekalkan jawatannya.

"Timbalan-timbalan yang lain itu kekal kecuali PAS.

"Presiden PAS tidak berhasrat untuk berada di dalam Majlis Tertinggi PN. Beliau hanya akan berada dalam Majlis Presiden," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN di ibu pejabat PAS, hari ini.

Menyentuh mengenai pelantikan Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN yang baharu, Takiyuddin berkata, dari segi Perlembagaan PN, sesiapa sahaja boleh dilantik ke jawatan itu oleh Majlis Tertinggi.

"Siapa sahaja daripada PN boleh dipilih oleh Majlis Tertinggi untuk menjadi Pengerusi.

"Ia tidak perlu Presiden parti atau Timbalan Presiden. Sesiapa sahaja boleh dalam Perlembagaan kita," katanya.

Disebabkan itu juga katanya, PAS berpandangan kelebihan yang ada adalah kepada Ahmad Samsuri kerana beliau merupakan seorang Menteri Besar Terengganu dan dua penggal menjawat jawatan berkenaan.

"Beliau juga telah menunjukkan satu prestasi yang cukup baik dalam Pilihan Raya Umum ke-15 dan juga Pilihan Raya Negeri di Terengganu dengan memenangi semua kerusi atas tiket PN.

"Jadi itu antara beberapa kriteria kenapa PAS memilih Ahmad Samsuri sebagai wakil PAS untuk menerajui Majlis Tertinggi PN," katanya.
 
sumber 
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)