Nama Ahmad Samsuri Mokhtar kini disebut-sebut oleh penyokong PAS sebagai calon menggantikan Hamzah Zainuddin di Parlimen, khususnya bagi peranan Ketua Pembangkang. Namun persoalannya, adakah Samsuri benar-benar layak memikul tanggungjawab nasional itu?
Jawatan Ketua Pembangkang bukan untuk dimegahkan. Ia menuntut konsistensi, kehadiran, keupayaan berhujah dan kepimpinan strategik merentas parti. Inilah satu-satunya pentas besar yang tinggal untuk Samsuri membuktikan dirinya setara dan bukan sahaja untuk menggantikan Hamzah, malah untuk menunjukkan beliau lebih baik dari Muhyiddin Yassin sebagai bekas Pengerusi Perikatan Nasional.
Rekod ‘tidak cantik’, banyak kelemahan dan kegagalan.
Kegagalan pertama Samsuri dalam PN bermula ketika beliau dilantik sebagai Bendahari. Kehadiran mesyuarat yang jarang, diikuti peletakan jawatan yang diumumkan hanya melalui media sosial, menimbulkan keraguan tentang komitmen dan disiplin organisasi. Pemerhati politik berpendapat jika Samsuri membawa perangai lama maka PN mungkin tidak diurus dengan serius.
Kegagalan paling ketara ialah prestasi ekonomi Terengganu di bawah pentadbiran Samsuri. Meski berada di penggal kedua sebagai Menteri Besar, kedudukan negeri kekal di kelompok corot, tanpa lonjakan bermakna. Alasan kerap diulang “wang royalti” yang dilihat sebagai naratif menyalahkan pusat untuk menutup kelemahan tadbir urus sendiri.
Ironinya, ketika PAS menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan, tiada usul tuntas dibawa di Parlimen bagi menyelesaikan isu tersebut. Lebih membingungkan, jumlah berbilion ringgit yang diterima Terengganu tidak pernah diperincikan secara telus kepada rakyat. Naratif selektif ini menjejaskan kredibiliti kepimpinan.
Samsuri juga pernah merayu kepada Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan isu duit raya penjawat awam? Jika benar maka ini satu pengakuan implisit bahawa pengurusan fiskal negeri bermasalah.
Peliknya dalam sidang DUN, keutamaan yang diluluskan ialah pinjaman membeli kenderaan mewah untuk wakil rakyat . Keputusan ini menimbulkan persoalan juga, di mana keutamaan rakyat?
Jika Samsuri benar-benar mengintai peranan nasional sebagai Ketua Pembangkang, apakah tawaran konkritnya kepada rakyat Malaysia?
Dasar ekonomi? Reformasi institusi? Pelan kos sara hidup? Atau sekadar slogan besar seperti “negara Islam” tanpa pelan pelaksanaan yang realistik dalam masyarakat majmuk?
Paling teruk, Samsuri pernah membuat kenyataan seolah memandang ‘lekeh’ pemberian wang bantuan kepada rakyat Terengganu dengan mempersoalkan berapa lama RM400 boleh bertahan? Begitulah lebih kurang kenyataan yang mengguris hati orang miskin di sana.
Jadi, apakah Samsuri akan hentikan bantuan seperti SARA dan seumpamanya?
