Majoriti pemimpin Srikandi BERSATU menegaskan mereka kekal menyokong Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yasin berbanding pendirian Ketua Srikandi BERSATU, Mas Ermieyati Samsuddin yang menyatakan sokongan terhadap Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Naib Ketua Srikandi, Nolee Ashilin Mohd Radzi, berkata majoriti yang menyokong terdiri daripada 17 daripada 24 EXCO Srikandi Malaysia, 11 daripada 14 Ketua Srikandi Negeri (KSN) serta Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Tetap Srikandi Malaysia.
"Kami ingin menegaskan pendirian kami adalah jelas iaitu kekal setia kepada parti, mempertahankan institusi Presiden serta berdiri teguh di belakang Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Presiden yang sah dipilih melalui Perhimpunan Agung parti.
"Kami juga akan berpegang teguh kepada ketetapan yang telah perwakilan putuskan semasa Perhimpunan Agung Tahunan yang lalu.
"Sebarang percubaan untuk melemahkan kepimpinan melalui tekanan terbuka, naratif perpecahan atau gerakan tersirat adalah perbuatan yang tidak beretika serta bercanggah dengan semangat perjuangan parti," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mas Ermieyati hadir himpunan 'RESET' anjuran Hamzah
Sabtu lalu, Mas Ermieyati mengakui terdapat pihak cuba menghalangnya daripada menghadiri dan berucap pada himpunan 'Reset' anjuran Hamzah.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tetap memilih untuk hadir demi menentukan hala tuju parti ke arah yang lebih baik.
Justeru, Nolee Ashilin berkata, semua keputusan berkaitan hala tuju sayap dan parti hendaklah dibuat melalui saluran rasmi, proses musyawarah dan struktur kepimpinan sah.
"Ia bukanlah melalui kenyataan individu atau tindakan unilateral yang hanya mengundang kekeliruan ahli serta melemahkan kekuatan parti dari dalam.
"Kami menolak sekeras-kerasnya budaya politik yang mencetuskan polemik terbuka sehingga mencalar imej parti kerana kami percaya kestabilan parti adalah tanggungjawab bersama," katanya.
Jelasnya lagi, dalam suasana yang mencabar ini, adalah penting untuk semua ahli menunjukkan kematangan politik, mengelakkan kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan serta memberi ruang kepada kepimpinan tertinggi parti mengurus perkara mengikut lunas perlembagaan dan saluran yang betul.
"Fokus utama kita kekal kepada perjuangan parti dan amanah rakyat, justeru kami menggesa seluruh ahli Srikandi di semua peringkat untuk terus bersatu, tenang dan istiqamah dalam mempertahankan perjuangan agama, bangsa dan negara," katanya.
sumber
