Anak Bekas MB Perlis 13 Kali Naik Mahkamah?

Melaka Digest
By -
0

Menurut sumber semalam, ruang awam di Perlis dikejutkan dengan penularan berita bertajuk “Anak Mantan MB Perlis dibicarakan kes rasuah tipu Raja Perlis”. Namun cubaan mengaburkan fakta sebenar mula kelihatan apabila perbicaraan pada 3 Februari lalu digambarkan seolah-olah baharu bermula, sedangkan hakikatnya ia hanyalah sesi penghujahan balas sebelum plaintif dan defendan diberikan tempoh dua bulan untuk menyediakan penghujahan bertulis. 


Berdasarkan rekod mahkamah di Kangar, kes rasuah melibatkan Mohd Syafeeq Mohd Shukri dengan nombor kes RA-62R-10-05/2024 bukan kes picisan atau baharu. Ia telah melalui 13 kali prosiding, melibatkan dua orang hakim susulan pertukaran pentadbiran kehakiman. Kes ini mula disebut pada 23 Mei 2024 di hadapan YA Puan Norsalha Dato’ Hamzah sebelum perbicaraan penuh dikendalikan oleh YA Dato’ Nu’aman Mahmud Zuhudi bermula 11 Oktober 2024.

Prosiding kes ini telah berlangsung secara konsisten di Mahkamah Seksyen 1 merangkumi tahun 2024 (23 Mei, 28 Jun, 26 Julai dan 11 Oktober), tahun 2025 (9 April, 14 dan 15 Oktober, 4 Disember serta 9 dan 10 Disember) dan bersambung pada tahun 2026 pada 13 Januari, 30 Januari dan 3 Februari lalu. Ini menafikan sepenuhnya cubaan menggambarkan isu ini sebagai sensasi bermusim atau serangan politik terancang.

Untuk rekod, pertuduhan terhadap Mohd Syafeeq Mohd Shukri dibuat atas dakwaan mengemukakan tuntutan palsu bernilai RM19,505.10 di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis bagi perkhidmatan minuman kononnya untuk kegunaan Raja Perlis di Hospital Tuanku Fauziah. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Rehab Abdul Shukur, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Fadhly Yaacob.

Namun kes ini hanyalah sebahagian kecil daripada gambaran sebenar. Dakwaan salah guna kuasa terhadap mantan Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli, didakwa turut melibatkan anak, menantu dan ahli keluarga terdekat. Beberapa aduan telah dikemukakan kepada SPRM termasuk dakwaan perbelanjaan “makan angin” keluarga ke China dan Eropah yang kini menunggu tindakan lanjut pihak berkuasa.

Lebih serius, wujud dakwaan pemalsuan dokumen melibatkan tuntutan palsu bernilai RM600,000 di Pejabat Menteri Besar Perlis berkaitan pelaksanaan projek perbekalan dan pembangunan prasarana di seluruh negeri sejak tahun 2022. Turut dipersoalkan ialah dakwaan salah guna kuasa melibatkan Mohd Syafeeq dan penama proksi dalam permohonan pajakan melombong dolomit oleh Syarikat MSR Barakah Sdn Bhd yang kemudiannya menukar nama kepada Mining Specialist Resources Sdn Bhd.

Pada 13 Januari lalu, isu ini telah lebih awal dibangkitkan melalui tulisan bertajuk “Berita Tergempar! SPRM mula siasat Mantan MB Perlis & Anak-anak”, diikuti pendedahan pada 17 Januari bertajuk “Syafeeq Shukri ditahan SPRM, bongkar kisah sebenar di Perlis”. Ketika itu, difahamkan Mohd Shukri disiasat selama dua jam manakala anaknya Mohd Syafeeq selama lima jam. Malah, Mohd Syafeeq sendiri ketika itu mendabik dada mendakwa belum digari dan masih bebas bergerak, satu sikap angkuh.

Hakikatnya, salah guna kuasa di Perlis telah lama ditegur pelbagai pihak termasuk kepimpinan dan akar umbi Parti Islam Se-Malaysia negeri yang sejak awal mendesak Mohd Shukri meletakkan jawatan. PAS Pusat juga dimaklumkan mengenai keresahan ini. Namun Mohd Shukri tetap memerintah ala “Geng Arrogant”, gagal mengamalkan prinsip parti menguasai kerajaan seperti yang diluluskan Muktamar dan Majlis Syura Ulama, serta berbeza sama sekali dengan amalan di tiga negeri PAS yang lain.

Lebih parah, Badan Perhubungan PAS Perlis dilaporkan tidak bermesyuarat lebih tujuh bulan, suatu pelanggaran tadbir urus yang dibiarkan tanpa tindakan oleh Setiausaha Agung ketika itu, Dato’ Taki. Inilah wajah kronisme sebenar apabila geng sendiri dibiarkan termasuk mereka yang memohon jawatan dalam kerajaan negeri walaupun sebelum itu PAS sendiri melabel mereka sebagai pengkhianat.

Ironinya, pihak yang berusaha menjaga nama baik PAS pula dijadikan mangsa. Kemuncaknya, PAS Pusat bertindak memecat tiga ADUN Perlis, sedangkan Mohd Shukri hanya meletakkan jawatan atas alasan kesihatan. Realitinya, pemecatan tiga ADUN ini bukan untuk mempertahankan prinsip tetapi langkah terancang bagi menutup kes rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan Geng Matkri Arrogant demi memastikan imej seorang pemimpin dan keluarganya tidak terus tercalar.

Inilah makna kezaliman yang sering dilaungkan tetapi gagal diamalkan, zalim apabila kuasa digunakan untuk melindungi kroni, zalim apabila kebenaran dikorbankan demi kelangsungan kerajaan dan zalim apabila mereka yang bersuara demi integriti dihukum tanpa belas.

Kes rasuah anak mantan Menteri Besar Perlis ini akan bersambung pada 2 April dan dijangka keputusan akan diumumkan. Kebenaran di Perlis tidak boleh dikambus selama-lamanya. Ia mesti ditegakkan sehingga ke penghujungnya dan tiga ahli PAS yang teraniaya serta dituduh pelbagai perkara wajar dibela, bukan dikorbankan.
 
Sumber: 

Athirah al-Junaidah
Taman Bersatu Arau
6 Februari 2026
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)