Semakin Hilang Pengaruh: PAS Terpaksa Guna Chegu Bard Sebagai Talian Hayat

Melaka Digest
By -
0

Langkah PAS Selangor menampilkan Chegu Bard sebagai penceramah membuka satu realiti pahit yang sukar disangkal, pengaruh PAS di negeri itu semakin terhakis sehingga terpaksa bergantung kepada figura luar yang diketahui umum tidak sehaluan dengan kepimpinan utama Perikatan Nasional (PN), khususnya Muhyiddin Yassin. Ia bukan lagi strategi politik biasa sebaliknya satu isyarat jelas bahawa PAS sedang bergelut untuk mengekalkan relevansi dan kepercayaan masyarakat.


Hakikatnya, Chegu Bard bukan tokoh neutral dalam ekosistem PN. Beliau dikenali sebagai antara Ketua Bahagian Bersatu yang lantang dan terbuka mengecam Muhyiddin termasuk menyindir serta menyerang Presiden Bersatu itu menggunakan isu sensitif melibatkan menantunya yang didakwa melarikan diri daripada pertuduhan rasuah. Namun demi menambat semula perhatian rakyat Selangor, PAS Selangor sanggup mengetepikan garis politik dan prinsip kebersamaan, mengulangi pendekatan yang sebelum ini telah dilakukan oleh PAS Melaka.

Tindakan ini mendedahkan kedudukan PAS yang semakin tersepit khususnya selepas krisis kepercayaan masyarakat susulan kemelut Menteri Besar Perlis. Krisis tersebut bukan sahaja mencalar imej PAS sebagai parti yang sering menjaja naratif moral dan integriti malah merebak menjadi beban nasional apabila membawa kepada peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN. Lebih parah, beberapa pimpinan utama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) turut mengambil langkah sama, meninggalkan PN dalam keadaan pincang dan hilang arah.

Sehingga hari ini, PAS masih gagal melantik pengganti Muhyiddin sebagai Pengerusi PN. Kegagalan ini bukan isu teknikal semata-mata tetapi berpunca daripada pertembungan dalaman yang semakin ketara. Dua blok utama dilihat sedang bertarung, kumpulan ulama politik yang mahu mengekalkan dominasi ideologi dan simbol keagamaan serta kumpulan yang lebih liberal, ‘geng tak suka berkopiah’.

Penggunaan Chegu Bard bukan lagi soal ceramah atau tarikan massa tetapi cerminan kegagalan PAS membina jenama sendiri yang diyakini rakyat khususnya di negeri maju seperti Selangor. Apabila parti terpaksa meminjam suara individu yang secara terbuka menyerang sekutunya sendiri, ia memperlihatkan kekosongan kepimpinan dan krisis naratif yang serius.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)