Kemelut dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini memasuki fasa paling kritikal apabila seorang lagi pemimpin kanan tampil membuat desakan terbuka agar Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan sebagai Presiden parti. Kali ini, suara itu datang daripada Naib Presiden Bersatu sendiri, Ronald Kiandee, satu perkembangan yang memperlihatkan betapa serius dan parahnya krisis kepimpinan yang sedang melanda parti itu.
Ronald secara terbuka menyifatkan Muhyiddin gagal menguruskan krisis dalaman Bersatu dengan berkesan malah membiarkan konflik berlarutan sehingga hampir mustahil untuk dipulihkan. Lebih keras, beliau menyifatkan tindakan Lembaga Disiplin Bersatu yang mengheret Timbalan Presiden, Hamzah Zainuddin atas pertuduhan lama dan baharu sebagai langkah regresif yang bercanggah dengan usaha memperkukuhkan parti menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Menurut Ahli Parlimen Beluran itu, tindakan disiplin yang turut menyasarkan ketua-ketua bahagian, termasuk Ahli Parlimen dan ADUN yang menyokong Hamzah, memberi gambaran jelas wujudnya penyalahgunaan prosedur secara terdesak. Ia dilihat bukan untuk memulihkan parti, sebaliknya bagi membungkam suara pimpinan utama daripada terus menyampaikan pandangan, teguran dan maklum balas demi kelangsungan serta masa depan Bersatu.
“Keadaan ini menjadikan Bersatu, pada pandangan rakyat semakin hilang arah dan tersasar daripada matlamat perjuangan sebenar,” tegas Ronald dalam kenyataan hari ini. Lebih membimbangkan, katanya, perjuangan parti seolah-olah kini hanya tertumpu kepada usaha mempertahankan kuasa Muhyiddin serta melindungi kelompok penyokong tertentu tanpa mengambil kira hubungan strategik dan kepercayaan rakan-rakan parti sahabat dalam Perikatan Nasional (PN).
Kenyataan keras Ronald hadir ketika penyokong kem Muhyiddin dan kem Hamzah saling berbalas serangan secara terbuka sejak beberapa hari lalu, sekali gus mendedahkan perpecahan dalaman yang tidak lagi dapat disembunyikan. Dalam konteks ini, Ronald menegaskan bahawa Muhyiddin bukan sahaja gagal meredakan konflik malah dilihat menggunakan saki-baki kekuatan politiknya semata-mata untuk mempertahankan kedudukan sebagai presiden demi memenuhi agenda peribadi untuk kembali ke kerusi Perdana Menteri.
Lebih serius, Muhyiddin didakwa cuba menghalang laluan Hamzah daripada memimpin Bersatu pada masa hadapan, walaupun wujud desakan yang semakin kuat daripada pelbagai peringkat kepimpinan agar berlaku peralihan kuasa. Bagi Ronald, jika Bersatu benar-benar mahu dipulihkan dan dibina semula termasuk memperkukuhkan hubungan strategik bersama rakan-rakan komponen PN maka langkah paling berjiwa besar yang perlu diambil Muhyiddin ialah berundur.
Ronald turut mengingatkan bahawa pendiriannya selari dengan sejarah politik Muhyiddin sendiri, khususnya ketika beliau mendesak Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi berundur pada 2008 atas alasan kebimbangan masa depan parti menjelang PRU. Ironinya, Muhyiddin kemudian pernah menyatakan rasa menyesal atas desakan tersebut ketika gerakan menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak menjadikan episod ini seolah-olah ulangan sejarah yang kini memakan diri.
Sebelum ini, sejumlah pemimpin Bersatu daripada pelbagai peringkat telah menyuarakan kehendak agar Muhyiddin memberi laluan kepada Hamzah untuk memimpin parti. Rasa kurang senang itu bukan sahaja wujud dalam Bersatu malah turut dikongsi oleh sesetengah pemimpin parti lain dalam PN. Namun, dalam masa yang sama, penyokong tegar Muhyiddin pula semakin agresif mempertahankan bekas Perdana Menteri itu, sambil mendesak agar Hamzah disingkirkan sepenuhnya.
Desakan supaya Hamzah dipecat turut disuarakan beberapa Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dengan Lembaga Disiplin sekali lagi memanggil bekas Menteri Dalam Negeri tersebut. Dua ahli MPT, Mohd Yazid Mohd Yunus dan Datuk Jasri Jamaludin malah mendesak Hamzah agar menyatakan sokongan terbuka kepada Muhyiddin sebagai presiden. Pada masa sama, pemimpin Bersatu yang digantung keahlian, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal tampil mencabar musuh-musuh Hamzah untuk bertindak secara terbuka.
