Pemecatan Hamzah Zainudin bukan sekadar episod disiplin parti tetapi ia adalah titik perubahan besar yang mengubah sepenuhnya kuasa dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia. Dalam sekelip mata, kekosongan yang ditinggalkan Hamzah membuka ruang perebutan baharu dan dua nama kini muncul sebagai tumpuan iaitu Azmin Ali dan Radzi Jidin.
Kemelut antara Hamzah dan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin telah berlarutan selama berbulan-bulan, membabitkan perebutan pengaruh, hala tuju parti dan kawalan jentera. Konflik itu akhirnya memuncak dengan pemecatan Hamzah bersama 16 pemimpin lain, satu langkah drastik yang dilihat sebagai usaha “membersihkan” struktur kuasa parti.
Menurut penganalisis politik, Hisomudin Bakar dari Ilham Centre, penyingkiran Hamzah secara langsung membawa kepada penyusunan semula hierarki kepimpinan Bersatu. Lebih penting, ia membuka laluan yang lebih jelas kepada Azmin Ali.
“Daripada perspektif ini, laluan Azmin menuju kepimpinan tertinggi parti kelihatan lebih teratur, memandangkan tidak lagi berdepan dengan halangan besar seperti sebelumnya,” kata Hisomudin.
Sebagai Setiausaha Agung Bersatu, Azmin kini berada pada kedudukan strategik dengan mengawal organisasi, memahami denyut nadi akar umbi dan bebas daripada bayang-bayang pesaing paling dominan sebelum ini. Dalam politik, kekosongan kuasa jarang dibiarkan lama dan Azmin kelihatan bersedia mengisinya.
Namun, satu lagi nama mula mencuri perhatian. Radzi Jidin mencetuskan spekulasi apabila berkunjung bertemu Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang ketika itu baru dilantik menjalankan tugas Timbalan Presiden Bersatu. Pertemuan itu bukan bersifat biasa kerana ia dipamerkan secara terbuka engkap dengan barisan tokoh kanan PAS dan Perikatan Nasional.
Dalam pertemuan itu, turut kelihatan ialah Setiausaha Agung PAS merangkap Timbalan Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan, Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman serta Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu Razali Idris. Ini boleh ditafsirkan bahawa Radzi sedang membina jambatan sokongan, khususnya dengan PAS, rakan teras Bersatu dalam PN.
Jadi siapa pilihan Muhyiddin? Azmin menawarkan kekuatan organisasi dan kesinambungan struktur parti. Radzi pula membawa simbol kestabilan, hubungan erat dengan PAS dan imej lebih “lunak” pasca-krisis. Malah ‘cerita Azmin di Sandakan’ masih berlegar.
