Sejak kemunculan Mas Ermieyatie Masudin di pentas program Reset Politik yang digerakkan oleh kumpulan penyokong Hamzah Zainuddin, satu persoalan besar terus berlegar dalam kalangan akar umbi, mengapa beliau masih kekal sebagai Ketua Srikandi BERSATU Malaysia tanpa sebarang tindakan disiplin?
Hakikatnya, sehingga hari ini tiada penggantungan keahlian, tiada pemecatan malah tiada sebarang tindakan tegas daripada badan disiplin Bersatu terhadap Mas Ermieyatie, walaupun sokongan beliau kepada Hamzah dibuat secara terbuka dan lantang. Situasi ini membuka ruang kritikan bahawa BERSATU sedang berdepan krisis ketegasan dan konsistensi disiplin dalaman termasuk suara-suara sumbang mempersoalkan badan tersebut seolah takut dengan Mas Ermieyatie.
Pemerhati politik melihat episod ini sebagai kelemahan paling ketara BERSATU ketika berdepan konflik kuasa dalaman. Kegagalan bertindak hanya menampakkan bahawa parti ini tidak berani membuat keputusan sukar.
“BERSATU kelihatan terlalu longgar dan seolah-olah takut untuk menghukum Mas Ermieyatie, seakan-akan tiada sesiapa yang layak menggantikan beliau,” kata seorang penganalisis politik.
Lebih menarik, akar umbi Srikandi sendiri menyokong supaya Nolee Ashilin Mohd Radzi, Naib Ketua Srikandi mula disebut-sebut sebagai calon paling wajar dan berprinsip untuk mengambil alih kepimpinan Srikandi. Ini menunjukkan bahawa masalah bukan kekurangan pelapis, tetapi keengganan kepimpinan pusat untuk bertindak tegas.
“Sayap utama parti tidak boleh dipimpin oleh individu yang secara terbuka menolak Presiden,” tegas pemerhati tersebut lagi.
