“Kami Bukan Dalang!”, itulah penegasan keras Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin ketika menjawab dakwaan bahawa gerakan peralihan kuasa dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) didalangi oleh Hamzah Zainuddin. Menurut Muqharabbin, tuduhan itu bukan sahaja tidak berasas, malah menyelewengkan realiti sebenar krisis dalaman parti.
Mengulas pembubaran BERSATU Bahagian Lembah Pantai, Muqharabbin menegaskan pemecatan Timbalan Presiden parti itu sebagai “tidak masuk akal dan tidak relevan”, khususnya ketika parti berdepan cabaran besar menjelang PRU16. Katanya, gerakan perubahan kepimpinan bukan dimulakan oleh Hamzah, sebaliknya dicetuskan oleh ketua-ketua bahagian sendiri yang melihat keperluan mendesak untuk melakukan pembaharuan strategik.
“Kami yang gerakkan supaya Dato’ Sri Hamzah memaklumkan kepada Tan Sri Presiden tentang keperluan peralihan kuasa. Bukan beliau yang suruh kami,” tegasnya.
Muqharabbin mendakwa lebih 100 ketua bahagian menyatakan sokongan sebelum isu itu dibawa kepada pimpinan tertinggi. Namun, selepas pertemuan berlangsung, Hamzah didakwa dilabel sebagai dalang kononnya untuk menjatuhkan Presiden parti, Muhyiddin Yassin, satu naratif yang menurutnya sengaja dibina untuk menutup tuntutan sebenar akar umbi.
Beliau turut menjelaskan bahawa Akuan Bersumpah (SD) yang ditandatangani bukan bertujuan menjatuhkan presiden, sebaliknya untuk memastikan peralihan kuasa berlaku secara konsensus, berperlembagaan dan menguatkan parti menghadapi PRU16.
Lebih membimbangkan, Muqharabbin mempersoalkan proses Lembaga Disiplin yang disifatkannya cacat dan tergesa-gesa.
“Laporan masuk, tiga hari panggil, terus pecat tanpa saksi. Itu bukan proses disiplin yang adil,” katanya, sambil menegaskan jawatankuasa pendamai gagal berfungsi apabila pemecatan dibuat hampir serentak dengan siasatan.
Sebagai tanda protes terhadap apa yang dianggap keputusan kepimpinan yang terpisah daripada realiti akar umbi, beliau mengumumkan pembubaran BERSATU Lembah Pantai serta meletakkan jawatan sebagai Ketua Bahagian. Keputusan itu, katanya, lahir daripada kekecewaan melihat parti semakin hilang sentuhan dengan kehendak rakyat yang mahukan perubahan sebenar dan bukan retorik.
“Rakyat nak dengar usul untuk mereka, bukan sekadar ‘hidup presiden’ setiap kali perhimpunan,” ujarnya tajam.
Muqharabbin turut memberi amaran bahawa tindakan tidak berprosedur berpotensi membuka ruang campur tangan pihak berkuasa, termasuk Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, sekiranya peraturan dan tata kelola parti terus diketepikan.
Sumber
