Ada Pihak Terlalu Takut Usaha Penyatuan Melalui 'Rumah Bangsa'

Melaka Digest
By -
0

Serangan terhadap inisiatif “Rumah Bangsa” yang dibawa oleh UMNO semakin ketara sejak kebelakangan ini, sekali gus menimbulkan persoalan mengapa sebuah platform yang berteraskan penyatuan Melayu menjadi sasaran kritikan bertubi-tubi?


Reaksi keras ini dilihat bukan sekadar perbezaan pandangan politik tetapi mencerminkan kegusaran pihak tertentu terhadap potensi sebenar gagasan tersebut.

Di bawah kepimpinan Presidennya, Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pendekatan “Rumah Bangsa” bukanlah sekadar slogan retorik sebaliknya satu usaha strategik untuk mengembalikan semula kekuatan asas UMNO iaitu penyatuan orang Melayu merentasi perbezaan politik. Sejak penubuhannya, UMNO sememangnya berperanan sebagai platform penyatuan dan inisiatif ini dilihat sebagai kesinambungan kepada asas perjuangan tersebut dalam konteks politik moden yang lebih kompleks.

Namun, naratif yang cuba dibina oleh pihak tertentu mendakwa bahawa usaha ini mempunyai “agenda tersembunyi” untuk mempengaruhi pengundi Melayu, khususnya generasi muda. Tuduhan ini sebenarnya tidak lebih daripada cubaan untuk meragukan keikhlasan usaha penyatuan yang sedang digerakkan. Dalam realiti politik, setiap parti sememangnya berusaha mendapatkan sokongan rakyat tetapi memposisikan usaha penyatuan sebagai helah politik jelas satu simplifikasi yang bersifat tendensius.

Lebih menarik, kritikan turut tertumpu kepada kemungkinan kerjasama UMNO dengan Pakatan Harapan (PH) termasuk DAP, sebagai bukti kononnya UMNO tidak konsisten dengan agenda Melayu. Namun, hujah ini gagal mengambil kira realiti politik semasa yang memerlukan kerjasama antara blok bagi memastikan kestabilan kerajaan. Dalam konteks ini, kerjasama strategik tidak semestinya menafikan agenda teras, sebaliknya boleh menjadi mekanisme untuk memperkukuh kedudukan dalam kerangka yang lebih luas.

Dakwaan bahawa kemasukan semula tokoh seperti Khairy Jamaluddin hanyalah strategi memperdaya orang Melayu juga dilihat sebagai cubaan untuk merendahkan nilai kepimpinan individu serta menutup ruang kepada proses pemulihan parti. Sebaliknya, ia boleh ditafsirkan sebagai usaha menggabungkan semula kekuatan lama dan baharu bagi membina semula keyakinan rakyat.

Apa yang lebih signifikan ialah hakikat bahawa serangan terhadap “Rumah Bangsa” semakin agresif seiring dengan tanda-tanda awal “arus balik” dalam kalangan bekas ahli dan penyokong UMNO. Ini menunjukkan bahawa inisiatif tersebut bukan sahaja relevan tetapi juga berpotensi menjadi platform paling berkesan dalam menyatukan semula kekuatan politik Melayu, sesuatu yang mungkin dilihat sebagai ancaman oleh pihak lawan.

Persoalan sebenar bukanlah sama ada “Rumah Bangsa” mempunyai agenda tersembunyi tetapi mengapa usaha penyatuan ini begitu ditakuti.

Dalam politik, sesuatu idea hanya akan diserang habis-habisan apabila ia berpotensi mengubah keseimbangan kuasa dan dalam kes ini, “Rumah Bangsa” dilihat bukan sekadar satu inisiatif tetapi isyarat kepada kebangkitan semula kekuatan yang pernah menjadi teras politik negara.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)