Ahli PAS Percaya Hadi Awang ‘Hero Selat Hormuz’?

Melaka Digest
By -
0

Tular satu naratif yang sukar diterima akal apabila Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, didakwa kononnya memainkan peranan besar sehingga Iran memberi laluan selamat kepada kapal Malaysia melalui Selat Hormuz. Lebih menghairankan, ada pihak mendakwa Presiden Iran memberi keistimewaan tersebut kerana “mengenali” Hadi. Dakwaan ini menimbulkan persoalan, sejak bila hubungan diplomatik antara negara ditentukan oleh hubungan peribadi seorang ahli politik pembangkang?


Hakikatnya, naratif ini bukan sahaja mengelirukan malah mencerminkan bagaimana propaganda politik boleh dibina tanpa berpaksikan realiti. Dalam konteks sebenar, Iran tidak pernah mengumumkan sebarang keistimewaan khusus kepada Malaysia. Sebaliknya, pendirian negara itu jelas bahawa semua kapal dari negara yang tidak dianggap musuh dibenarkan melalui Selat Hormuz berdasarkan pertimbangan geopolitik dan keselamatan. Keputusan ini melibatkan pelbagai negara, bukan Malaysia semata-mata. Maka, adalah tidak logik untuk mengaitkan laluan tersebut dengan pengaruh individu tertentu.

Lebih penting, hubungan antara Malaysia dan Iran dijalankan melalui saluran diplomatik rasmi seperti Kementerian Luar Negeri Malaysia, kedutaan serta rundingan kerajaan ke kerajaan. Diplomasi antarabangsa bukan medan permainan parti politik, apatah lagi bagi pihak pembangkang yang tidak memegang kuasa dalam dasar luar negara. Namun, naratif ini cuba memberi gambaran seolah-olah wujud pengaruh peribadi yang besar di peringkat antarabangsa dan ini merupakan satu gambaran yang tidak berasaskan fakta serta memalukan.

Ini memperlihatkan penggunaan teknik propaganda yang semakin ketara. Pertama, pembinaan “hero palsu” apabila seseorang tokoh diangkat sebagai penyelamat tanpa bukti kukuh. Kedua, eksploitasi sentimen agama dengan mengaitkan hubungan Iran dan PAS bagi mempengaruhi emosi penyokong. Ketiga, penyebaran dakwaan tanpa sebarang pengesahan rasmi dan akhirnya, naratif sebegini bergantung kepada penerimaan tanpa semakan, sekali gus merendahkan keupayaan berfikir kritis dalam kalangan pengikut.

Lebih membimbangkan, kecenderungan membina naratif sedemikian mencerminkan keperluan mendesak untuk mencipta imej kepimpinan antarabangsa yang tidak wujud dalam realiti. Secara faktanya, Abdul Hadi Awang bukan wakil kerajaan Malaysia, tidak terlibat dalam rundingan diplomatik rasmi dan tidak mempunyai kuasa dalam menentukan dasar luar negara. Namun propaganda ini cuba mengaburkan garis tersebut demi kepentingan politik.

Jadi kepada ‘walaun’, dakwaan bahawa Presiden PAS “menyelamatkan Malaysia” di Selat Hormuz hanyalah naratif yang tidak berasas. Isu keselamatan antarabangsa ditentukan oleh kepentingan strategik negara dan diplomasi rasmi, bukannya hubungan peribadi ahli politik. Dalam era maklumat terbuka, naratif seperti ini bukan sahaja mudah dipatahkan, malah akhirnya mendedahkan kecenderungan pihak tertentu untuk membina sokongan melalui cerita yang tidak berpijak di bumi nyata.

Ketika dilantik sebagai Duta Khas Timur Tengah pun beliau hanya kerap berulang antara Kuala Lumpur dan Marang malah paling memalukan, beliau mempunyai rekod antara yang tidak cemerlang kehadiran ke sesi parlimen.
 
Paling memalukan, pemimpin PAS tidak menyanggah? 
 

 





 
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)