Ahli Parlimen Pandan, Dato' Seri Rafizi Ramli mendakwa individu dikenali sebagai Mr R dalam kenyataan ahli perniagaan Victor Chin adalah seorang peguam yang merupakan seorang Penasihat Korporat NexG dan Pengarah HighTech Padu, Sandraruben Neelamagham atau Ruben.
Beliau mendakwa Ruben ialah penghubung antara kumpulan yang digelar mafia korporat dengan pihak berkepentingan dalam isu tekanan terhadap pemegang saham.
“Gambarannya jelas bahawa Mr R adalah operator kepada seorang yang lebih berkuasa,” katanya dalam satu hantaran di media sosial, sambil menambah bahawa Mr R sering merujuk kepada seorang 'bos' dalam perbualan dengan Victor Chin.
Rafizi mengaitkan individu yang didakwa sebagai 'bos' kepada Ruben dengan bekas Setiausaha Politik kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador.
“Persoalan yang lebih besar ialah dakwaan dari komunikasi antara Victor dan Ruben, iaitu bos nya, atau dari deduksi Farhash, mempunyai pengaruh bagi mengarahkan pihak berkuasa untuk menekan pemegang saham NexG, serta Farhash berkemampuan meyakinkan Perdana Menteri untuk memberikan kontrak berbilion ringgit kepada NexG.
“Saya dah tunaikan janji saya untuk dedah siapa Mr R,” katanya, sambil menyatakan isu tersebut wajar dijawab oleh Perdana Menteri bagi menjelaskan dakwaan yang timbul.
