Ali Pasir Usah Berangan, Ketua Penaja Bukan Pilihan Ahli

Melaka Digest
By -
0


Naratif bahawa pelantikan Ketua Bahagian (Penaja) dalam Bersatu Melaka sebagai langkah pantas untuk menstabilkan parti sebenarnya memperlihatkan kelemahan ketara Bersatu di seluruh negara termasuk di Melaka.

Pertama sekali, perlu diperjelaskan bahawa individu seperti Ali Pasir bukanlah pemimpin yang dipilih oleh ahli parti melalui proses demokrasi dalaman. Sebaliknya, beliau hanyalah dilantik sebagai ketua penaja, satu jawatan sementara yang tidak membawa mandat sebenar daripada akar umbi.

Dalam politik parti, perbezaan antara “dipilih” dan “dilantik” bukan perkara kecil. Ia menentukan legitimasi.

Jika benar beliau mempunyai sokongan kuat, persoalan mudah timbul mengapa tidak melalui proses pemilihan?

Malah, Ali Pasir pernah kalah di peringkat pemilihan jawatan Ketua Bahagian UMNO dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Lebih menarik, isu pelantikan penaja ini juga membuka satu percanggahan yang sukar dijelaskan.

Pelantikan “penaja” lazimnya hanya berlaku apabila sesuatu bahagian itu telah terbubar atau tidak lagi berfungsi. Namun dalam kes Bersatu, pimpinan pusat sebelum ini menegaskan bahawa tiada bahagian yang terbubar walaupun berlaku pengunduran beramai-ramai dalam kalangan kepimpinan bahagian.

Jadi persoalannya, bagaimana pelantikan penaja boleh berlaku jika bahagian tersebut masih dianggap wujud dan sah?

Jika benar bahagian masih wujud, maka pelantikan penaja dilihat seperti satu tindakan membelakangi struktur sedia ada dan adakah ianya bercanggah dengan ketetapan RoS?

Jika pula bahagian sebenarnya telah lumpuh atau terbubar, maka kenyataan pimpinan pusat sebelum ini jelas bercanggah dengan realiti di lapangan.

Situasi ini menjadikan keseluruhan naratif “penstabilan parti” kelihatan lebih kepada usaha menutup aib parti, bukan menyelesaikannya.

Tambahan pula, hakikat bahawa lima daripada enam bahagian di Melaka sebelum ini mengumumkan pembubaran termasuk Tangga Batu, Alor Gajah dan Jasin dan ini bukan perkara kecil yang boleh dipandang remeh. Ia adalah isyarat jelas bahawa wujud masalah keyakinan akar umbi terhadap kepimpinan.

Ketika itu, tokoh seperti Rahim Thamby Chik sendiri menyatakan bahawa tindakan tersebut dibuat secara sukarela selepas mengambil kira suara ahli di peringkat bawah yang semakin hilang kepercayaan.

Namun hari ini, naratif yang dibawa seolah-olah semuanya kembali stabil hanya dengan pelantikan beberapa “ketua penaja”.

Persoalannya, adakah kestabilan itu benar-benar wujud atau sekadar gambaran di atas kertas?

Paling sinis bualan antara penyokong PN adalah, “sudah tiada calon lainkah sehingga kluster mahkamah juga yang dipilih?”
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)