Naib Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan menafikan parti itu secara rasmi telah menyertai Perikatan Nasional (PN).
Menurut beliau, MIC tidak pernah membuat permohonan rasmi untuk menyertai PN, selain tidak pernah memuktamadkan sama ada mahu meninggalkan atau setia bersama Barisan Nasional (BN).
Tegas beliau, Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC juga masih belum membuat keputusan mengenai perkara itu.
“Tiada keputusan dibuat oleh MIC untuk menyertai PN.
“Saya sudah jelaskan sejak awal lagi: kita akan serahkan kepada CWC untuk membuat keputusan dan setakat ini CWC belum memutuskan apa-apa,” katanya seperti dilaporkan portal berita termasuk FMT hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengesahkan MIC sudah diterima secara rasmi sebagai komponen parti gabungan tersebut.
Menurut beliau, permohonan MIC itu diterima pada Disember tahun lepas dan mesyuarat PN pada 14 Mac lalu memuktamadkan dan mengesahkan kedudukan MIC di dalam gabungan parti tersebut.
Susulan itu, tambahnya, komponen PN kini terdiri daripada Pas, Bersatu, Gerakan, MIC dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP). – MalaysiaGazette
