Pertemuan antara Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dikaitkan dengan gerakan politik dikenali sebagai ‘Bangkok Move’ mencetuskan pelbagai spekulasi dalam arena politik negara.
Pertemuan itu dikatakan bertujuan mengusahakan perpaduan antara parti-parti besar Melayu bagi memperkukuhkan kedudukan politik Melayu di Malaysia.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, usaha ke arah penyatuan parti Melayu memang menjadi pendekatan yang sedang diusahakan dan pertemuan dengan pihak tertentu dibuat bagi menjayakan matlamat tersebut.
Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan parti-parti Melayu dapat bergerak dalam satu kekuatan yang lebih besar demi kepentingan politik negara.
Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada pertemuan tersebut turut membincangkan rancangan untuk menaikkan Hamzah sebagai Timbalan Perdana Menteri, Wan Saiful menegaskan beliau tidak mempunyai maklumat mengenai perkara itu.
Pada masa sama, beliau turut mendakwa bahawa sebelum ini usaha penyatuan parti Melayu sering terhalang kerana Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak berminat untuk bekerjasama dengan parti-parti besar lain.
Sebelum ini, Muhyiddin sendiri mendedahkan dakwaan mengenai perancangan Hamzah untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri melalui gabungan dengan parti lain, selain mengesahkan wujudnya pertemuan antara Hamzah dan Ahmad Zahid yang dikaitkan dengan ‘Bangkok Move’.
Dalam masa sama, Wan Saiful berkata jika dakwaan tersebut benar, Muhyiddin seharusnya mengemukakan bukti bagi menyokong kenyataan yang dibuat.
