Dalam politik, kadangkala realiti jauh lebih sinis daripada satira. Terbaharu, parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Melaka sekali lagi mencetuskan tanda tanya apabila melantik Ali Pasir sebagai pemangku Ketua Bahagian Tangga Batu.
Lantikan itu dibuat bagi menggantikan Ramlan Meon yang difahamkan meletakkan jawatan kerana tidak lagi sehaluan dengan kepimpinan presiden parti, Muhyiddin Yassin.
Namun, persoalan yang timbul bukan sekadar soal penggantian jawatan, yang menjadi perbualan hangat dalam kalangan penyokong Bersatu sendiri ialah latar belakang tokoh yang dipilih untuk memimpin bahagian tersebut.
Ali Pasir ketika ini sedang berhadapan perbicaraan kes rasuah di mahkamah. Dalam konteks politik Malaysia, keadaan sebegini lazimnya akan menimbulkan sensitiviti, malah parti-parti sering melaungkan komitmen terhadap integriti dan tadbir urus bersih.
Namun di Tangga Batu, naratifnya kelihatan berbeza seolah-olah rekod mahkamah bukan lagi beban tetapi sekadar nota kaki dalam perjalanan politik.
Lebih menarik, Ali Pasir juga dikenali sebagai rakan rapat kepada aktivis politik Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard yang sering melontarkan kritikan keras terhadap kepimpinan Bersatu sendiri, termasuk mendesak Muhyiddin Yassin supaya berundur.
Malah, Chegu Bard turut mengaitkan isu kontroversi yang melibatkan menantu Muhyiddin yang dikatakan sedang diburu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan skandal rasuah bernilai ratusan juta ringgit.
Ironinya, dalam suasana serangan terbuka terhadap presiden parti itu, seorang individu yang mempunyai hubungan rapat dengan pengkritik utama kepimpinan kini pula diangkat sebagai pemangku ketua bahagian. Adakah Muhyiddin bakal menjadikan Ali Pasir sebagai penghalang Chegu Bard untuk terus mengkritik beliau?
Keadaan ini juga menimbulkan persoalan lain, adakah Bersatu sedang memperkukuh kepimpinan di akar umbi atau sekadar menukar masalah lama dengan kontroversi baharu? Atau bertujuan ‘menormalisasi’ kluster mahkamah kerana Muhyiddin juga sedang menghadapi perbicaraan rasuah?
Sumber dalaman parti juga mendakwa penyokong Ali Pasir kini mula memposisikan beliau sebagai calon masa depan. Antaranya termasuk usaha mempromosi beliau sebagai bakal Pengerusi Bersatu Melaka, malah tidak kurang yang sudah membayangkan beliau sebagai calon Ketua Menteri daripada Bersatu pada Pilihan Raya Negeri akan datang.
Jika benar strategi ini sedang digerakkan, maka Melaka bakal menyaksikan satu eksperimen politik yang cukup menarik dengan sebuah parti yang pernah mendakwa membawa agenda integriti dan reformasi, kini dilihat tidak keberatan untuk mengangkat tokoh yang sedang berdepan perbicaraan mahkamah sebagai wajah kepimpinan baharu.
Kes Ali Pasir di SINI
