Kenyataan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin, yang mempersoalkan konsep “Rumah Bangsa” kerana UMNO masih bekerjasama dengan DAP sekilas pandang mungkin kelihatan seperti pendirian yang mempertahankan prinsip agama dan bangsa. Namun apabila diteliti secara lebih mendalam, hujah tersebut kelihatan lebih menyerupai alasan politik untuk terus kekal bersama blok yang secara terbuka menentang UMNO.
Persoalannya, jika kerjasama dengan DAP dianggap tidak selari dengan agenda memperkukuh agama dan bangsa, bagaimana pula dengan kerjasama politik bersama Gerakan?
Parti Gerakan bukan sekadar parti komponen dalam blok pembangkang hari ini, malah parti itu pernah menyatakan pendirian jelas menolak pelaksanaan hudud serta mengkritik pengenalan tulisan jawi dalam sistem pendidikan. Jika ukuran yang digunakan oleh Mas Ermieyati ialah sensitiviti terhadap agama dan identiti Melayu, maka kerjasama dengan Gerakan juga wajar dipersoalkan dengan standard yang sama.
Namun anehnya, perkara itu jarang sekali menjadi isu.
Lebih menarik, blok politik yang disokong oleh Mas Ermieyati juga membuka ruang kerjasama dengan P. Ramasamy, bekas pemimpin kanan DAP yang terkenal dengan pelbagai kenyataan kontroversi mengenai isu kaum dan agama di Malaysia. Jika logiknya ialah menolak DAP kerana kononnya tidak selari dengan agenda agama dan bangsa, bagaimana pula kerjasama dengan tokoh yang datang daripada latar politik yang sama?
Persoalan yang sama juga timbul apabila kumpulan politik ini dilihat bersekutu dengan tokoh yang pernah terlibat dengan gerakan HINDRAF, Waytha Moorty yang suatu ketika dahulu membawa naratif antarabangsa bahawa masyarakat India di Malaysia ditindas secara sistematik. Naratif tersebut bukan sahaja mencalar imej negara, malah pernah digunakan sebagai bahan kempen global yang memberi gambaran buruk terhadap Malaysia.
Apakah kerjasama dengan tokoh-tokoh seperti itu dianggap tidak menjejaskan agenda bangsa dan negara?
Sehingga ke hari ini Waytha Moorty tidak meminta maaf.
Di sinilah hujah yang dibawa oleh Mas Ermieyati mula kelihatan tidak konsisten. Menolak DAP atas nama prinsip tetapi pada masa yang sama menerima kerjasama dengan parti dan individu yang membawa pendirian yang hampir serupa, adakah ini benar-benar soal prinsip atau sekadar alasan politik?
Hakikatnya, hari ini Mas Ermieyatie dengan kumpulan anti UMNO sarat dengan naratif moral yang sering digunakan secara terpilih. Musuh politik dilabel dengan pelbagai tuduhan ideologi tetapi apabila melibatkan sekutu sendiri, standard yang sama tiba-tiba menjadi ‘dibolehkan’.
Maka apabila Mas Ermieyati mempersoalkan konsep “Rumah Bangsa”, adakah itu strategi untuk memastikan kedudukan politik terus kekal dalam kelompok yang sejak awal lagi menjadikan UMNO sebagai musuh utama?
Mas Ermieyatie meninggalkan UMNO ketika UMNO tidak bersama DAP. Itu fakta
