Bersatu Melaka Lantik Bekas DAP?

Melaka Digest
By -
0


Langkah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Melaka melantik Norhizam Hassan Baktee sebagai Naib Ketua Bersatu Bahagian Hang Tuah Jaya menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan pemerhati politik tempatan.

Bagi sebahagian rakyat Melaka, nama Norhizam bukanlah sesuatu yang asing. Malah beliau lebih dikenali dengan gelaran “YB Beliau”, selain episod terkenal “Kau YB ke Aku YB” yang pernah menjadi bahan bualan ramai ketika beliau berada dalam Dewan Undangan Negeri Melaka.

Kini, dengan pelantikan tersebut, Norhizam secara rasmi kembali ke arena politik selepas beberapa episod kontroversi yang pernah mengiringi perjalanan kariernya.

Pelantikan ini secara tidak langsung menimbulkan persoalan, adakah Bersatu Melaka benar-benar ketandusan wajah baharu untuk diketengahkan sebagai barisan kepimpinan alternatif?

Dalam usaha membina kekuatan Bersatu di negeri Melaka, parti tersebut dilihat masih bergantung kepada tokoh lama yang pernah melalui pelbagai episod lompat parti dan kontroversi?

Lebih menarik, Norhizam sendiri sebelum ini pernah dikaitkan dengan DAP sebelum perjalanan politiknya berubah arah beberapa kali.

Bagi pemerhati politik, fenomena ini menimbulkan satu ironi bahawa parti yang sering menyerang lawan politiknya dengan retorik tertentu akhirnya membuka ruang kepada tokoh yang pernah berada dalam kem lawan tersebut.

Norhizam juga dikenali dengan imej lantang dan gaya ucapan yang sering beremosi ketika berada di Dewan Undangan Negeri Melaka suatu ketika dahulu.

Gelaran “Penembak Babi” dan gaya perbahasan yang berpekik-pekik pernah menjadikannya antara figura politik yang mengundang reaksi bercampur dalam kalangan rakyat Melaka kerana ada yang melihatnya sebagai hiburan politik, ada juga yang menganggapnya sekadar retorik populis.

Tidak kurang juga yang masih mengingati rekod “lompatan politik” beliau yang sering menjadi bahan sindiran dalam perbualan politik tempatan.

Selepas tewas sebagai calon Bebas di DUN Pengkalan Batu dalam Pilihan Raya Negeri Melaka 2021, kehadiran Norhizam dalam aktiviti politik dilihat semakin senyap.

Bagi sebahagian pemerhati, keadaan ini menimbulkan persepsi bahawa aktiviti turun padang hanya rancak ketika seseorang tokoh memegang jawatan atau sedang berada dalam gelanggang pilihan raya.

Apabila jawatan tiada, kehadiran di tengah rakyat juga seakan-akan hilang.

Tidak salah seseorang datang daripada latar belakang sederhana termasuk pernah menjadi pemandu bas sekolah sebelum menjadi wakil rakyat. Dalam demokrasi, peluang memimpin terbuka kepada sesiapa sahaja.

Namun persoalannya bukan latar belakang tetapi integriti dan keikhlasan dalam berkhidmat kepada rakyat.

Apabila politik dilihat sekadar gelanggang mengejar jawatan atau peluang kembali ke pentas kuasa, rakyat Melaka pasti mampu menilai dengan matang.

Kerana dalam politik negeri yang kecil tetapi penuh sejarah seperti Melaka, satu perkara sentiasa diingat oleh pengundi, wajah boleh dikitar semula, tetapi rekod dan sikap seseorang pemimpin sukar untuk dipadam daripada ingatan rakyat.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)