Kenyataan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, bahawa perbincangan calon Perdana Menteri tidak wajar dibangkitkan selagi gabungan politik berdepan perpecahan sepatutnya menjadi peringatan serius. Namun dalam konteks semasa, ia kedengaran lebih seperti pengakuan terbuka bahawa blok pembangkang sendiri masih gagal menyelesaikan krisis dalaman.
Retorik “penyatuan Melayu” sekali lagi diangkat sebagai asas perjuangan tetapi persoalannya bagaimana mahu bercakap soal penyatuan, sedangkan dalam gabungan sendiri pun masih bergelut dengan perpecahan? Ungkapan “jangan bicara siapa PM kalau kita berantakan” mungkin tepat, tetapi ironinya, ia datang daripada pihak yang masih belum berhenti berantakan.
Lebih menarik, kenyataan ini muncul ketika nama-nama seperti Muhyiddin Yassin dan Hamzah Zainudin terus dikaitkan dengan konflik dalaman parti. Pemecatan 17 pemimpin dalam BERSATU bukan sekadar episod kecil, ia mencerminkan masalah struktur yang jauh lebih dalam daripada sekadar perbezaan pandangan.
Dalam masa yang sama, bayang Mahathir Mohamad kembali menghiasi naratif “penyatuan Melayu” dengan slogan klasik “Bersatu Teguh, Bercerai Roboh”. Namun, slogan ini semakin kehilangan makna apabila ia hanya diulang tanpa kemampuan untuk direalisasikan. Ia kedengaran indah di pentas ceramah tetapi rapuh dalam realiti politik PN.
Hakikatnya, isu calon Perdana Menteri bukan punca perpecahan, ia hanyalah simptom. Punca sebenar ialah perebutan kuasa, pertembungan kepentingan dan kegagalan membina kepercayaan dalam kalangan sendiri. Selagi perkara ini tidak diselesaikan, apa jua nama yang diketengahkan sebagai calon PM hanya akan menjadi bahan perbalahan baharu.
