Chegu Bard Dipecat BERSATU

Melaka Digest
By -
0
Ketua BERSATU Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Chegu Bard  dipecat daripada parti.

Beliau dimaklumkan mengenai pemecatan itu oleh Setiausaha Lembaga Disiplin BERSATU melalui WhatsApp pada jam 6 petang semalam. 
 
Mengulas tindakan itu, Chegu Bard  ketika dihubungi BH, mendakwa BERSATU tidak lagi memperjuangkan isu rakyat dan mementingkan hanya kelompok tertentu.

"Seperti dijangka, sekitar jam 6 petang semalam, saya dipecat oleh parti melalui WhatsApp," katanya sambil memaklumkan akan mengeluarkan kenyataan rasmi malam ini.

Terdahulu pada 10 Mac lalu, beliau mendedahkan menerima notis tunjuk sebab daripada Lembaga Disiplin BERSATU berhubung beberapa dakwaan, termasuk tuduhan mencemarkan imej dan nama parti.

Chegu Bard  diberi tempoh sehingga Selasa ini untuk menjawab notis itu, namun enggan berbuat demikian kerana menganggap perkara yang dibangkitkan 'tidak masuk akal'.

Beliau mendakwa situasi itu seolah-olah menggambarkan parti dikawal sepenuhnya sehingga ahli tidak bebas menyuarakan pandangan.
 
Notis pemecatan yang dikongsikan dengan BH memetik Pengerusi Lembaga Disiplin BERSATU, Datuk Mohd Radzi Manan memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang maklum balas daripada Chegu Bard  dalam tempoh ditetapkan, susulan surat bertarikh 10 Mac itu.

Sehubungan itu, Lembaga Disiplin memutuskan bahawa beliau dipecat daripada keahlian parti di bawah Fasal 22.5, berkuat kuasa serta-merta semalam atas pelanggaran Fasal 9.1.4 Perlembagaan serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.
 
Bagaimanapun, Chegu Bard  boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis berkenaan.
 
Beliau yang dipilih sebagai Ketua BERSATU Port Dickson pada November 2024, berikrar untuk terus memperjuangkan nasib rakyat dan memerangi rasuah.

Sebelum ini, Chegu Bard  adalah ahli PKR namun dipecat pada 2016, kemudian menyertai BERSATU pada 2020.

BERSATU dilanda kemelut dalaman di antara Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Timbalannya, Datuk Seri Hamzah Zainudin sehingga menyebabkan Ahli Parlimen Larut yang juga Ketua Pembangkang itu dipecat keahlian parti pada 13 Februari lalu.

Beberapa pemimpin BERSATU lain turut dipecat dan digantung selepas penyingkiran Hamzah, termasuk bekas Naib Presiden parti, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan bekas Ketua Wanita, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Sumber.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)