Dalam dunia politik yang sering melaungkan soal maruah, integriti dan perjuangan rakyat, kisah yang menimpa Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard ini terasa seperti satu ironi yang terlalu pahit untuk ditelan.
“Seperti dijangka, sekitar jam 6 petang semalam, saya dipecat oleh parti melalui WhatsApp.”
Ringkas, padat dan cukup untuk menggambarkan tahap ‘penghargaan’ sebuah parti terhadap individu yang selama ini dijadikan ‘ayam sabung’ di medan politik.
Bayangkan bertahun-tahun berdiri di barisan hadapan, menyerang lawan, mempertahankan parti, mendedahkan pelbagai isu walaupun beliau bukanlah sebagai ‘whistleblower’ namun akhirnya perjalanan itu ditamatkan bukan dengan surat rasmi, bukan melalui proses disiplin yang telus tetapi sekadar satu mesej di aplikasi WhatsApp.
Ramai yang tertanya, hina sangatkah Chegu Bard di mata Muhyiddin sehingga proses sepenting pemecatan ahli boleh direndahkan ke tahap “forward message”? Tiada surat, tiada penjelasan terperinci, tiada ruang pembelaan yang jelas, hanya notifikasi.
Lebih cepat daripada pos laju, tapi jauh lebih murah dari segi maruah.
Menurut penganalisis politik, bila sudah menjadi liabiliti, dibuang begitu sahaja.
Ironinya, ini bukan kali pertama Chegu Bard melalui episod pemecatan. Pada tahun 2016, beliau dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat sebelum menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia pada tahun 2020.
Namun bezanya kali ini bukan pada pemecatan itu sendiri tetapi cara ia dilakukan.
Dulu mungkin ada surat. Kini cukup sekadar mesej.
Mungkin kerana terlalu kurang ajar dengan Presiden Bersatu sendiri terutama beliau dilihat konsisten menyerang Muhyiddin terutama isu pengunduran Muhyiddin dan juga keberadaan menantu Muhyiddin yang lari dari SPRM.
