Jumpa Zahid Antara Faktor Hamzah Dipecat - Muhyiddin

Melaka Digest
By -
0

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muhyiddin Yassin mendakwa bekas Timbalannya, Hamzah Zainudin, terlibat dalam pertemuan sulit dengan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, bagi membentuk satu gabungan politik baharu tanpa pengetahuan, kebenaran atau mandat parti.


Menurut Muhyiddin, tindakan tersebut merupakan antara faktor utama yang mendorong kepada pemecatan Hamzah sebagai ahli Bersatu dan Ketua Pembangkang pada 13 Februari lalu, selain dakwaan bahawa beliau menjadi dalang kepada gerakan dalaman yang bertujuan melemahkan serta memecah-belahkan parti.

Muhyiddin menegaskan bahawa kesalahan yang dilakukan oleh Hamzah bukan bersifat kecil atau terpencil, sebaliknya melibatkan pelanggaran disiplin serius sehingga memaksa Lembaga Disiplin parti mengambil tindakan tegas bagi mengelakkan kerosakan yang lebih besar terhadap kestabilan Bersatu.

“Kesalahan dia banyak dan bertimbun. Sebab itu perkara ini dibawa ke Lembaga Disiplin. Keputusan dibuat atas asas yang kukuh dan bukan secara semberono,”.

Beliau turut merujuk kepada kenyataan terbuka Zahid sebelum ini yang mendakwa telah mengadakan perbincangan dengan Pas dan Bersatu yang kemudian dikaitkan dengan gerakan politik tertentu. Menurut Muhyiddin, persoalan mengenai siapa yang bertemu Zahid pernah dibangkitkan dalam perbincangan dalaman parti, namun tidak dijawab secara jelas.

“Saya tanya dalam kumpulan, siapa jumpa Zahid? Tidak ada jawapan tetapi saya ada maklumat yang sahih bahawa Hamzah bertemu Zahid. Dalam parti, disiplin itu perkara besar,” tegasnya.

Muhyiddin menolak dakwaan bahawa pemecatan Hamzah berpunca daripada perbezaan pandangan atau kritikan terhadap kepimpinannya. Sebaliknya, beliau menegaskan isu tersebut melibatkan pelanggaran perlembagaan parti, usaha mencetuskan ketidaktenteraman dalaman, serta tindakan yang merenggangkan hubungan antara pimpinan tertinggi dan akar umbi.

“Seseorang tidak boleh bertindak mengikut kepala sendiri, tanpa mandat, tanpa kelulusan dan tanpa persetujuan majoriti. Ini bukan perkara kecil,” katanya.

Beliau turut mendedahkan wujudnya dakwaan mengenai perancangan pembentukan gabungan politik baharu yang melibatkan pembahagian jawatan tertinggi negara, termasuk jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, tanpa sebarang rundingan rasmi dalam parti.

“Perkara seperti ini sangat serius. Ia bukan isu remeh dan tidak boleh dipandang ringan. Lembaga Disiplin bertindak berdasarkan maklumat yang diperoleh dan sebab-sebabnya adalah munasabah,” katanya lagi.

Tegas Muhyiddin, tindakan disiplin yang diambil adalah demi menjaga integriti, kestabilan serta masa depan Bersatu dan bukan bermotifkan kepentingan peribadi atau perebutan kuasa dalaman.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)