Apabila Presiden UMNO, Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memperkenalkan gagasan Rumah Bangsa, reaksi yang muncul daripada beberapa bekas pemimpin UMNO yang dipecat dan digantung bukanlah perbahasan idea atau cadangan alternatif.
Sebaliknya yang muncul hanyalah satu tuduhan lama yang diulang berkali-kali: kononnya Rumah Bangsa ada DAP di dalamnya.
Siapa yang melihat DAP berada dalam Rumah Bangsa itu?
Di mana bukti bahawa DAP menjadi sebahagian daripada gagasan tersebut?
Setakat ini tiada siapa yang mampu menunjukkannya. Tiada dokumen, tiada kenyataan rasmi, tiada struktur organisasi yang membuktikan dakwaan tersebut. Ia sekadar cerita yang berlegar dalam ruang propaganda politik.
Namun yang lebih menarik ialah mereka yang paling kuat menuduh itu sendiri sebenarnya sedang tinggal dalam “Rumah Pangsa” yang sarat dengan perbalahan sesama sendiri.
Di dalam payung politik mereka, terdapat parti dan tokoh yang rekodnya jauh lebih kontroversial terhadap agenda Melayu dan Bumiputera.
Contohnya, bekas pemimpin Hindu Rights Action Force (Hindraf), Waytha Moorthy.
Tokoh ini pernah menggegarkan pentas antarabangsa dengan dakwaan bahawa masyarakat Hindu di Malaysia dianiaya secara sistematik.
Dakwaan itu bukan sahaja mencemarkan imej negara, malah mencetuskan persepsi buruk terhadap Malaysia di peringkat global.
Namun sehingga hari ini, tiada permohonan maaf yang jelas kepada negara atas tuduhan yang begitu berat itu.
Bukan itu sahaja.
Dalam “Rumah Pangsa” politik yang sama juga terdapat P. Ramasamy, bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang yang terkenal dengan pelbagai kenyataan keras berkaitan isu agama dan kaum.
Dan jangan dilupakan juga kehadiran Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).
Parti ini pula mempunyai rekod penentangan yang jelas terhadap pelaksanaan hudud serta pelbagai agenda berkaitan identiti Islam dalam politik negara.
Ironinya, semua elemen ini hidup bersama dalam “Rumah Pangsa” politik yang sama, tanpa sebarang rasa janggal.
Namun apabila disebut Rumah Bangsa, tiba-tiba mereka mendakwa kononnya ia mengancam orang Melayu.
Retorik sebegini bukan sahaja tidak konsisten, malah memperlihatkan satu bentuk politik yang sangat selektif, menuduh orang lain dengan perkara yang sebenarnya berlaku dalam rumah sendiri.
Hakikatnya, gagasan Rumah Bangsa yang diketengahkan oleh Zahid berteraskan idea memperkukuh kedudukan Melayu dan Bumiputera dalam kerangka politik yang lebih luas dan stabil.
Ia bukan rumah yang dibina atas sentimen kebencian tetapi atas asas perpaduan dan kestabilan politik.
Namun bagi mereka yang sudah lama hidup dalam retorik konfrontasi, gagasan seperti ini mungkin kelihatan mengancam, bukan kerana ia salah tetapi kerana ia meruntuhkan naratif lama yang mereka bina.
Jika benar mereka begitu bimbang tentang masa depan Melayu dan Bumiputera,
mengapa mereka lebih rela tinggal dalam Rumah Pangsa politik yang sempit dan rapuh, daripada menyumbang kepada pembinaan Rumah Bangsa yang lebih kukuh?
Atau mungkin sebenarnya mereka tahu bahawa Rumah Pangsa itulah satu-satunya tempat yang masih memberi mereka ruang untuk terus berteduh dalam politik.
