Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tidak mampu membayangkan kerjasama dengan bekas Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada tempoh terdekat ini kerana beliau sudah tidak mempercayai nama itu lagi.
Memetik laporan Berita Harian, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, beliau sendiri akan menolak sekiranya Hamzah bersama rumah baharunya kelak mahu menyertai Perikatan Nasional (PN).
Ini kerana katanya, hak menerima keahlian dalam PN bukannya datang daripada satu pihak sahaja, sebaliknya dengan persetujuan parti komponen.
“Saya tidak berapa yakin perkara itu boleh berlaku (kemasukan parti Hamzah ke dalam PN). Kalau dia hendak cari haluan, hala tuju, itu hal dialah. Bukan hak saya untuk mengatakan ya, di sini sana.
“Saya tidak nak campur tangan. Tapi kalau dia nak masuk PN…saya akan jawab tidak boleh sebab ‘once bitten twice shy’ (sekali dikhianati kena berwaspada).
“Orang yang sudah buat berlaku macam itu, hang nak masuk balik? PN ada empat keahlian parti yang akan mempertimbangkan boleh atau tidak. Tetapi ikut pandangan peribadi saya, kalau dalam tempoh setahun dua, tidak nampak dia ok, minta maaflah, kita ini manusiakan. Tidak semudah itu,” katanya.
Semalam, BH melaporkan Hamzah yang kini masih memegang jawatan ketua pembangkang dilaporkan akan memimpin Parti Keluarga Malaysia, susulan pemecatannya dalam BERSATU, bulan lalu.
Timbul persoalan kemungkinan rumah baharu Hamzah itu akan menyertai PN susulan hubungan baiknya dengan PAS.
Ketika ditanya sama ada Muhyiddin ada meminta penjelasan secara bersemuka dengan Hamzah sebelum ini berhubung tindakan ‘pengkhianatan’ terbabit, Ahli Parlimen Pagoh itu menjelaskan ia dinafikan bekas Menteri Dalam Negeri berkenaan.
“Kalau saya tanya Hamzah, Hamzah kata ‘No sir, I am always your supporter. Number one supporter.’ (Tidak tuan, saya penyokong nombor satu anda). Tapi bila awak cakap begitu (tindakan dibuat Hamzah), saya sudah tidak percaya lagilah nama itu. Minta maaf.
“Apabila anda hilang keyakinan dengan seseorang seperti itu kerana ia tidak berlaku jujur …ia adalah perkara besar. Saya perlu lindungi parti saya. Takkan boleh biarkan orang rosakkan parti saya.
“Hendak saya biarkan? Sebagai pengasas saya tidak rela. Saya bercakap dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi walaupun saya seorang saja yang tinggal saya akan pertahankan BERSATU. Itu pendirian saya,” katanya.
Ketika ditanya berhubung sama ada tindakan akan dibuat terhadap mana-mana pemimpin BERSATU yang dilihat menyokong Hamzah, Muhyiddin berkata, tindakan disiplin adalah tugas berterusan.
Beliau turut menolak dakwaan bahawa kapal BERSATU sudah karam dengan ‘pembersihan’ yang dibuat melalui pemecatan beberapa pemimpinnya sebelum ini.
“BERSATU masih kukuh, relatifnya masih kukuh. Beritahu saya kalau kata ramai sudah ikut Hamzah, berapa ratus ribu yang ikut beliau? Berapa ketua bahagian yang sudah cabut lari? Bukan semua Ahli Parlimen atau ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) …yang lain masih utuh,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, beliau tidak akan menongkat langit dengan mentadbir BERSATU selama-lamanya dan bersedia menyerahkan kepada pimpinan muda, tidak berapa lama lagi.
Beliau berkata, pihaknya melihat BERSATU mempunyai barisan pelapis yang mencukupi termasuk Naib Presiden BERSATU, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Ketua ARMADA, Muhammad Hilman Idham dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Afif Bahardin.
“Saya fikir tempoh masa akan datang, pimpinan yang akan mengambil alih adalah tokoh jauh lebih muda dari saya. Saya tak fikir akan menongkat langit sampai mati.
“Parti membuat keputusan untuk kekalkan saya selama tiga tahun, ada dua tahun lagi …kot sampai setahun lagi sampai masa saya serah, saya serahlah. Tapi politik tidak semudah kata, hendak berhenti ada cara, buat persiapan kelengkapan rumah kena cukup kuat …saya akan sampai situ tempoh tidak berapa lama lagi,” katanya.
Sumber
