Muhyiddin Halang Penyatuan Melayu?

Melaka Digest
By -
0

Isu kegagalan penyatuan politik Melayu antara parti-parti utama mula menjadi bualan. Jika diteliti persoalan yang timbul hari ini ialah sejauh mana sikap kepimpinan sendiri menjadi penghalang kepada usaha tersebut.

Dalam konteks ini, ramai mula mempersoalkan peranan Muhyiddin Yassin dalam menentukan hala tuju sebenar penyatuan politik Melayu.

Persoalan pertama yang wajar diajukan ialah adakah benar tindakan Hamzah Zainudin yang dikatakan berjumpa dengan pemimpin UMNO untuk berbincang tentang kemungkinan penyatuan ummah merupakan satu kesalahan?

Jika tujuan pertemuan tersebut adalah untuk mencari titik persamaan dan membuka ruang kerjasama politik antara parti-parti Melayu, usaha itu sepatutnya dilihat sebagai langkah yang positif, bukannya dijadikan bahan tuduhan atau persepsi kononnya wujud “komplot”.

Hamzah bukanlah figura kecil dalam landskap politik parti. Sepanjang perjalanan politiknya dalam Bersatu, beliau sering dilihat sebagai antara pemimpin yang memainkan peranan besar dalam menggerakkan parti serta mencari ruang kerjasama politik yang lebih luas.

Usaha membuka saluran komunikasi dengan UMNO juga bukanlah sesuatu yang asing dalam politik Melayu. Sejak sekian lama, idea kerjasama antara tiga parti utama Melayu; Bersatu, PAS dan UMNO sering disebut sebagai formula yang berpotensi menyatukan kekuatan politik Melayu.

Jadi mengapa usaha sebegitu dilihat tidak digalakkan?

Ramai pemerhati politik berpendapat bahawa sepanjang tempoh kepimpinan Muhyiddin, tidak kelihatan usaha yang benar-benar serius untuk memulihkan hubungan politik antara tiga parti besar Melayu tersebut.

Sebaliknya, tumpuan politik beliau dilihat lebih menjurus kepada agenda peribadi untuk kembali ke tampuk kuasa, khususnya dalam usaha merealisasikan impian menjadi Perdana Menteri sekali lagi.

Dalam suasana politik yang sarat persaingan, keutamaan seperti ini secara tidak langsung menimbulkan persepsi bahawa agenda penyatuan Melayu tidak pernah benar-benar berada di barisan hadapan.

Ironinya, PAS sendiri sebelum ini beberapa kali dilihat terbuka terhadap kemungkinan kerjasama politik dengan UMNO pada masa hadapan demi memperkukuhkan kekuatan politik umat Melayu dan Islam.

Jika dua parti besar ini menunjukkan kecenderungan ke arah kerjasama, persoalan seterusnya menjadi semakin jelas: mengapa Muhyiddin dilihat seolah-olah tidak selesa dengan perkembangan tersebut?

Lebih menarik, apabila timbul dakwaan bahawa Azmin Ali pernah bertemu dengan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim seperti yang pernah disebut oleh Rafizi Ramli dan peliknya perkara itu tidak pula dilihat sebagai satu kesalahan besar.

Perbezaan standard dalam menilai tindakan pemimpin politik akhirnya menimbulkan persoalan, adakah benar usaha penyatuan hanya dianggap salah apabila ia tidak selari dengan agenda kepimpinan tertentu?

Penyatuan politik Melayu bukan sekadar slogan atau retorik kempen. Ia memerlukan keberanian politik, keikhlasan kepimpinan serta kesediaan untuk meletakkan kepentingan bangsa dan negara mengatasi kepentingan individu.

Muhyiddin fokus apa sebenarnya?
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)