Apabila bekas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang kini sekadar memegang jawatan Timbalan Pengerusi menyatakan bahawa Pengerusi PN yang baharu tidak semestinya calon Perdana Menteri, kenyataan itu lebih menyerlah sebagai luahan kekecewaan daripada seorang pemimpin yang gagal menerima realiti politik semasa.
Hakikatnya, pemimpin nombor dua tidak menentukan kedudukan pemimpin nombor satu. Struktur kepimpinan tidak pernah berfungsi secara terbalik.
Pemimpin nombor dua adalah pengikut kepada arah yang ditentukan oleh pemimpin nombor satu.
Seorang timbalan yang matang pula lazimnya memahami adab kepimpinan dengan memberi laluan kepada ketua untuk memimpin, bukan mencabar dari belakang.
Namun keadaan menjadi berbeza apabila Pengerusi PN yang baharu menyatakan secara terbuka bahawa Muhyiddin pun bukan lagi calon Perdana Menteri.
Itu bukan sekadar sindiran politik tetapi satu kenyataan yang membawa maksud jelas, satu garis penamat terhadap Muhyiddin.
Tambahan pula, Timbalan Pengerusi PN yang juga bekas Pengerusi itu bukanlah figura yang belum pernah menikmati kerusi tersebut. Beliau telah pun menjadi Perdana Menteri sebelum ini.
Malangnya, rekod pentadbirannya tidak meninggalkan kesan yang meyakinkan. Era kepimpinannya sering diingati dengan beberapa episod yang sukar dilupakan seperti Parlimen pernah digantung, sidang media jarang dihadapi dan komunikasi dengan rakyat lebih banyak berlaku melalui siaran satu hala seperti “pengumuman khas” atau sekadar edaran dokumen PDF.
Bagi kepimpinan baharu PN, tentunya episod sebegitu bukan sesuatu yang ingin diulang kembali.
Justeru, kenyataan tegas bahawa bekas Pengerusi itu bukan lagi calon Perdana Menteri sepatutnya tidak sukar difahami.
Kerusi Perdana Menteri hanya ada satu dan jika PN ingin menawarkan calon, sudah tentu Pengerusi parti atau gabungan itulah yang sepatutnya berada di barisan hadapan.
Tidak manis apabila seorang timbalan mempersoalkan kelayakan ketuanya untuk menduduki kerusi tersebut.
Jika Pengerusi PN sendiri dianggap tidak wajar menjadi calon Perdana Menteri, apakah timbalannya lebih layak?
Kenyataan tegas daripada Pengerusi PN itu sebenarnya memberi satu kejelasan yang sebelum ini kabur. Buat pertama kalinya, persoalan siapa calon Perdana Menteri bagi PN tidak lagi samar apabila Samsuri menegaskan bahawa Muhyiddin bukan pilihan untuk jawatan tersebut.
Bagi penyokong di akar umbi, kejelasan seperti ini memudahkan mereka menentukan arah sokongan. Bagi parti-parti komponen pula, ia membantu menetapkan pendirian tanpa perlu terus bermain teka-teki.
Dalam bahasa politik yang lebih jujur, kenyataan itu sebenarnya ibarat satu pukulan penamat kepada impian lama.
Selepas ini, bekas Pengerusi PN mungkin perlu menerima satu hakikat yang semakin jelas iaitu hasrat untuk kembali ke kerusi Perdana Menteri buat kali kedua mungkin sudah sampai ke penghujung jalan.
Muhyiddin perlu menerima hakikat bahawa jika Pengerusi gabungan sendiri tidak lagi mencalonkan beliau, bagaimana rakyat boleh diyakinkan untuk melakukannya?
