Kenyataan bekas tokoh politik veteran Rais Yatim baru-baru ini bukan sekadar nasihat biasa. Ia lebih menyerupai teguran terbuka terhadap keadaan semasa dalam Perikatan Nasional dan khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang dilihat semakin bergelut dengan konflik dalaman dan kemerosotan kekuatan politik.
Rais menegaskan bahawa pemimpin dalam PN dan Bersatu perlu menumpukan perhatian secara lebih bijak jika benar mahu memperkukuh politik Melayu. Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa pemimpin baharu PN, Ahmad Samsuri Mokhtar, wajar diberi ruang untuk membina kepimpinannya tanpa diganggu oleh pertikaian dalaman yang tidak berkesudahan.
“Biarlah beliau cari ruang pimpinannya dulu,” kata Rais, sambil mengingatkan bahawa bulan Ramadan bukan masa untuk tarik-tali politik atau permainan kuasa.
Namun di sebalik nada nasihat itu, mesej yang disampaikan sebenarnya cukup tajam. Rais secara terbuka memberi peringatan kepada Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, supaya lebih menumpukan perhatian kepada keadaan parti sendiri yang kini berdepan cabaran besar.
“Kini tiang dah tinggal tak seberapa, banyak goyang pada yang tegap,” katanya.
Bersatu yang suatu ketika dahulu pernah memiliki puluhan kerusi Parlimen kini semakin mengecil pengaruhnya. Dalam pilihan raya lalu, parti itu pernah menguasai sekitar 31 kerusi, namun perkembangan politik terkini menyaksikan jumlah tersebut merosot kepada sekitar tujuh sahaja.
Sebaliknya, rakan sekutu mereka dalam PN, PAS, kini muncul sebagai kekuatan utama pembangkang dengan 43 kerusi Parlimen.
Rais turut mencadangkan agar rundingan strategik dengan UMNO dipertimbangkan pada masa yang sesuai. Namun beliau mengingatkan bahawa realiti politik tidak boleh dinafikan bahawa UMNO juga mempunyai aspirasi sendiri untuk menguasai jawatan Perdana Menteri.
Dalam sistem demokrasi berparlimen Malaysia, Rais menegaskan bahawa persoalan siapa layak menjadi Perdana Menteri akhirnya bergantung kepada parti yang memperoleh kerusi terbanyak di Dewan Rakyat, sebelum dipertimbangkan oleh YDPA di bawah Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
“Guntinglah baju ikut badan. Sempit jangan, gelembong pun jangan.” tambahnya lagi.
