Muhyiddin Terlalu Ghairah Nak Jadi PM

Melaka Digest
By -
0

Kenyataan terbuka Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, mencetuskan gelombang baharu dalam krisis dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia apabila beliau secara terbuka menuduh Presiden parti itu, Muhyiddin Yassin, terlalu obses untuk kembali menjadi Perdana Menteri.


Menurut Wan Saiful, obsesi tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada dinamika dalaman parti, malah berpotensi menjejaskan usaha membina kerjasama politik yang lebih luas dalam kalangan pembangkang.

Wan Saiful turut mendakwa sikap Muhyiddin yang mudah berang apabila terdapat pemimpin parti mengadakan pertemuan dengan pihak lain menunjukkan keutamaan sebenar kepimpinan parti kini lebih tertumpu kepada soal jawatan berbanding usaha memperkukuh permuafakatan politik.

“Nampaknya hari ini obsesi Muhyiddin ialah jawatan. Dia marah apabila ada orang tuduh Hamzah Zainudin mahu diletakkan sebagai Timbalan Perdana Menteri. Kalau benar ada maklumat, buktikanlah,” katanya.

Wan Saiful turut mempersoalkan apa yang disifatkannya sebagai pendirian yang tidak konsisten dalam soal perebutan jawatan tertinggi negara. Menurutnya, usaha untuk mencalonkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dilihat boleh diterima, namun apabila tokoh lain dikaitkan dengan jawatan penting dalam kerajaan, ia pula dianggap sebagai kesalahan.

“Yang lebih menarik, kita semua tahu mengenai usaha mencalonkan Muhyiddin kembali sebagai Perdana Menteri. Kalau jawatan itu untuk dia, hukumnya boleh tetapi kalau jawatan itu untuk orang lain, salah pula?” katanya lagi.

Wan Saiful, yang dipecat daripada BERSATU, turut menjelaskan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai dakwaan gerakan politik yang dikenali sebagai “Bangkok Move” yang sebelum ini menjadi bahan spekulasi dalam kalangan pemerhati politik.

Bagaimanapun, beliau berpendapat mana-mana pemimpin politik perlu bersikap terbuka untuk bertemu dan berbincang dengan pelbagai pihak bagi membincangkan agenda politik yang lebih luas, tanpa dilihat sebagai satu bentuk pengkhianatan kepada parti.

Kenyataan tersebut dipercayai merujuk kepada dakwaan Muhyiddin sebelum ini bahawa Hamzah Zainudin yang turut dipecat daripada BERSATU mengadakan pertemuan dengan UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tanpa pengetahuan kepimpinan parti.

Muhyiddin sebelum ini mendakwa mempunyai maklumat mengenai pertemuan berkenaan yang dikaitkan dengan gerakan yang digelar “Bangkok Move”, dan menyifatkannya sebagai satu pelanggaran disiplin parti yang serius.

Pertembungan kenyataan terbuka antara tokoh-tokoh ini sekali lagi memperlihatkan ketegangan dalaman dalam BERSATU yang semakin memuncak, sekali gus membuka persoalan lebih besar mengenai arah masa depan kepimpinan dan kesatuan blok pembangkang.

Perkembangan terbaharu, Zahid mengaku ada pertemuan tersebut dan berlaku pada tahun lepas. BACA di SINI.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)