Nurul Syazwani Noh letak jawatan Ketua Penerangan Srikandi BERSATU

Melaka Digest
By -
0

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Selangor, Nurul Syazwani Noh, hari ini mengumumkan peletakan jawatan serta-merta sebagai Ketua Penerangan Srikandi BERSATU Malaysia. 
Dalam satu kenyataan, Nurul Syazwani berkata keputusan itu dibuat sebagai tanda solidariti terhadap Ketua Srikandi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, yang baru-baru ini digantung daripada jawatannya.
Nurul Syazwani menjelaskan bahawa jawatan yang disandangnya itu adalah lantikan di bawah kepimpinan Mas Ermieyati, justeru adalah wajar dari segi prinsip untuk beliau turut meletakkan jawatan susulan penggantungan tersebut.

Mas Ermieyati digantung keahlian dua penggal atau enam tahun hari ini. "Sebagai wakil rakyat wanita paling muda dalam parti ini, saya tidak dapat menyembunyikan kekecewaan dan kebimbangan terhadap keadaan semasa organisasi kita. "Parti yang sepatutnya menjadi wadah perjuangan bersama kini kelihatan sedang melalui fasa yang amat mencabar dari segi kestabilan kepimpinan dan perpaduan dalaman," katanya.

Nurul Syazwani, yang juga anak kepada ahli politik veteran Tan Sri Noh Omar, berkata perkembangan terkini itu menghantar mesej yang tidak menggalakkan kepada akar umbi parti serta masyarakat umum.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan disiplin yang dikenakan terhadap wakil rakyat, termasuk pemecatan dan penggantungan. "Ini menimbulkan persepsi bahawa suara dan mandat rakyat tidak dihormati sepenuhnya, sedangkan setiap kerusi yang dimenangi adalah hasil kepercayaan rakyat terhadap parti dan perjuangan kita," katanya lagi.

Beliau menegaskan perpecahan dalaman itu berlaku pada waktu kritikal ketika parti sepatutnya memperkukuh barisan menjelang pilihan raya akan datang.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)