Lembaga Disiplin Bersatu Jadi Alat Politik

Melaka Digest
By -
0

Ahli Parlimen Beluran, Ronald Kiandee, mempersoalkan keputusan tindakan disiplin yang dikenakan terhadapnya oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), dengan menyatakan bahawa jika beliau benar-benar bersalah, sepatutnya beliau dipecat daripada parti.

Menurutnya, keputusan sekadar menggantung keahlian menimbulkan persoalan mengenai ketelusan proses disiplin dalam parti itu.

“Jika benar saya melakukan kesalahan besar, mengapa sekadar digantung? Pecat sahaja,” katanya dalam satu kenyataan.

Ronald menjelaskan bahawa antara perkara yang dipersoalkan ialah penganjuran program RESET serta kehadirannya bersama Hamzah Zainudin dalam satu pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri di Bangkok.

Beliau mendakwa keputusan terhadapnya itu hanya menguatkan persepsi bahawa Lembaga Disiplin parti kini digunakan sebagai alat politik untuk melindungi presiden dan kelompok kecil di sekeliling kepimpinan tertinggi.

Tambahnya lagi, situasi itu lebih menimbulkan persoalan apabila lembaga tersebut dipengerusikan oleh individu yang mempunyai hubungan keluarga dengan kepimpinan tertinggi parti.

Ronald yang juga Naib Presiden BERSATU, telah menerima notis pergantungan keahlian selama dua penggal dan semua jawatan parti yang dipegang beliau, dilucutkan serta merta. Penggantungan tersebut dibuat kerana beliau didapati telah melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan dan Kod Etika Tatakelakuan Ahli.

Menurut Ronald, sejak dua tahun kebelakangan ini hala tuju parti dilihat semakin tersasar apabila segala tindakan didakwa tertumpu kepada usaha mengangkat presiden parti, Muhyiddin Yassin, sebagai calon Perdana Menteri ke-11.

Beliau mendakwa sesiapa sahaja yang dilihat berpotensi menghalang agenda tersebut akan disingkirkan, dengan Lembaga Disiplin dijadikan alat utama untuk melaksanakan tindakan berkenaan.

Ronald turut mendakwa situasi sama pernah berlaku terhadap beberapa pemimpin parti sebelum ini termasuk Hamzah.

Katanya, keadaan itu menyebabkan parti kini dipenuhi kelompok yang hanya menyokong presiden tanpa sebarang bantahan.

“Wujud puak ‘ya-presiden’ kerana sebahagian mereka dilantik oleh presiden, sebahagian lagi kalah dalam pemilihan tetapi dimenangkan oleh presiden, manakala ada juga yang dijanjikan watikah calon,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa beliau menyertai parti itu pada awalnya kerana percaya ia merupakan wadah perjuangan, bukan alat untuk memenuhi cita-cita politik individu.

“Saya tidak akan merayu. Anggap saja tempoh rayuan ini telah tamat,” katanya.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)