Beberapa pimpinan sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Sabah mengumumkan peletakan jawatan daripada semua jawatan dalam Armada serta keluar daripada parti berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan itu dimaklumkan menerusi sepucuk surat bertarikh 9 Mac yang ditujukan kepada Ketua Armada Nasional, Hilman Idham.
Dalam surat tersebut, kumpulan berkenaan yang terdiri daripada Ketua-Ketua Armada Bahagian serta Ahli Jawatankuasa Armada Negeri Sabah menyatakan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira perkembangan semasa dan situasi dalaman parti yang disifatkan semakin meruncing.
Menurut kenyataan itu, pergolakan kepimpinan dalam parti dilihat telah menjejaskan fokus perjuangan serta kestabilan organisasi, sekali gus mendorong mereka mengambil langkah meletakkan jawatan dan membubarkan kepimpinan Armada negeri.
“Setelah menilai keadaan semasa secara menyeluruh, kami berpendapat bahawa langkah peletakan jawatan dan pembubaran ini adalah tindakan paling wajar demi menjaga prinsip perjuangan,” menurut surat berkenaan.
Antara yang menandatangani surat tersebut termasuk Ketua Armada Negeri Sabah merangkap Ketua Armada Bahagian Beaufort, Mohammad Hisyam Hazaril Mohd Azman; Naib Ketua Armada Negeri Sabah merangkap Ketua Armada Bahagian Sepanggar, Khairil Anwar Norsahar; serta EXCO Armada Nasional merangkap Ketua Armada Bahagian Kinabatangan, Abdulasiz Rishad Khan.
Turut menandatangani ialah Penolong Setiausaha Armada Negeri Sabah merangkap Ketua Armada Bahagian Sipitang, Mohd Faizol Asime, bersama beberapa lagi pimpinan Armada bahagian di negeri itu.
Dengan perkembangan ini, parti BERSATU kehilangan keseluruhan sayap Armada negeri yang pertama direkodkan selepas pemecatan Timbalan Presiden, Dato Seri Hamzah Zainudin, Februari lalu.
