Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dimaklumkan berpuluh-puluh juta ringgit dimasukkan ke dalam akaun CIMB Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) selepas 1 Disember 2020.
Saksi pendakwaan kedua memberitahu, pihak bank telah mengeluarkan ‘Laporan Transaksi Meragukan’ (STR) untuk dihantar ke Bank Negara. Pengurus Bank, Lee Hui Nee, 58, berkata, pihaknya akan menghantar STR sekiranya mengesan transaksi melibatkan amaun yang besar.
Bagaimanapun pihaknya tidak mengetahui tindakan selanjutnya oleh Bank Negara, kerana pihak bank hanya menghantar laporan.
Di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin, Hui Nee turut mengesahkan 28 transaksi melibatkan jumlah RM19.3 juta dari Ogos 2021 sehingga November 2022.
Pada 1 Disember 2020, pemegang akaun telah bertukar nama kepada empat individu; Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Mohamed Salleh Bajuri.
Muhyiddin, yang ketika kejadian memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden BERSATU, didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti berkenaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021. Ahli Parlimen Pagoh itu didakwa mengikut Seksyen 23(1) SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan jika sabit kesalahan.
Beliau juga berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) AMLATFPUAA 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.
Kesemua pertuduhan itu berkaitan projek Jana Wibawa, iaitu program kerajaan yang diperkenalkan ketika negara berdepan pandemik COVID-19 bagi mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan serta merangsang ekonomi negara.
