Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan akan membawa usul bagi menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan PRN Melaka susulan krisis geopolitik Asia Barat.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, berkata berdasarkan pandangan logik politik, tidak mungkin pilihan raya dapat dilaksanakan dalam keadaan geopolitik tidak menentu dengan kesusahan dialami rakyat ketika ini.
Beliau berkata, cadangan itu akan dibawa ke Mesyuarat MKT UMNO pada Jumaat ini yang akan dibuat di Melaka.
"Kalau ketidaktentuan politik yang berlaku di luar dan melihat kesusahan rakyat sekarang, mungkin tak adalah PRN minggu depan, itu pandangan logik politik.
"Tak perlu mesyuarat besar pun untuk menyatakan itu dari segi logik politik. Apabila geopolitik payah, masalah harga barang begitu begini, tak akan kita nak buat pilihan raya ketika masalah ini berlaku.
"Jadi, saya ingin mengesyorkan apabila masalah selesai, baru kita boleh pilihan raya dengan tenang. Selagi keadaan tidak tenang, maka PRN Melaka dan Johor perlu difikirkan satu tarikh yang paling strategik," katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja rasmi ke Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kulai di sini, hari ini.
PRN Johor dilaksanakan pada Mac 2022 dan mandat kerajaan negeri itu dijangka tamat pada Mac 2027, manakala PRN Melaka dibuat pada November 2021 dan tamat mandatnya akhir tahun ini.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, beliau juga sudah mencadangkan kepada MKT supaya PRN kedua-dua negeri itu dilaksanakan serentak bagi menjimatkan kos.
