Isu penolakan terhadap gagasan “Rumah Bangsa” oleh sesetengah pihak dengan alasan UMNO bekerjasama dengan DAP dalam kerajaan perpaduan perlu dilihat secara lebih objektif dan menyeluruh. Hakikatnya, pembentukan kerajaan selepas PRU15 bukanlah satu rahsia atau konspirasi tersembunyi tetapi hasil daripada realiti politik pasca pilihan raya yang memerlukan kestabilan negara didahulukan.
Namun begitu, naratif yang dibina oleh pihak tertentu cuba menggambarkan seolah-olah UMNO telah mengkhianati prinsip, sedangkan sejarah sebenar sering diputar belit demi kepentingan politik sempit.
Kenyataan tegas oleh Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi sebelum PRU15, “No DAP, No Anwar, No Bersatu” sering dipetik secara terpilih oleh lawan politik. Frasa tersebut dimanipulasi menjadi hanya “No DAP, No Anwar” bagi membentuk persepsi bahawa UMNO telah mengingkari pendirian asal.
Hakikatnya, pembentukan kerajaan perpaduan berlaku dalam konteks tiada mana-mana gabungan memperoleh majoriti mudah. Ia adalah keputusan kolektif demi kestabilan negara, bukan pilihan ideal mana-mana pihak.
Menjadikan DAP sebagai alasan utama untuk menolak kerjasama atau kembali kepada agenda penyatuan Melayu dilihat sebagai hujah yang semakin lemah. Lebih-lebih lagi apabila pihak yang sama dilihat tidak konsisten dalam menentukan garis prinsip mereka sendiri.
Sepatutnya mereka yang memberikan alasan ‘tumpul’ itu melihat bagaimana PAS dan sekutunya dalam Perikatan Nasional dilihat bekerjasama dengan individu dan parti yang sebelum ini mereka sendiri tentang.
Kerjasama dengan P. Waytha Moorthy, bekas pengasas Hindraf, menimbulkan persoalan serius tentang konsistensi prinsip. Hindraf sebelum ini dikenali sebagai gerakan yang lantang mengkritik kerajaan Malaysia di peringkat antarabangsa dengan merekayasa fitnah sehingga tanpa rasa bersalah membuat dakwaan penindasan terhadap kaum India dan penganut Hindu.
Tuduhan-tuduhan berat yang pernah dibawa ke luar negara bukan sahaja mencalar imej Malaysia, malah pernah mencetuskan kemarahan pelbagai pihak. Namun sehingga kini, tiada permohonan maaf terbuka yang jelas atas tindakan tersebut.
Ironinya, individu yang pernah menjadi sasaran kritikan keras kini diterima sebagai rakan politik oleh pihak yang dahulu paling lantang menentangnya.
Begitu juga dengan Parti Gerakan. Parti ini secara terbuka mencabar pelaksanaan undang-undang syariah di mahkamah, termasuk memfailkan permohonan terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan.
Selain itu, bantahan terhadap modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah oleh parti Gerakan turut menimbulkan persoalan tentang keserasian ideologi dengan PAS yang memperjuangkan agenda Islam.
Adakah tindakan-tindakan ini selari dengan prinsip yang sering dijadikan alasan untuk menolak pihak lain?
Jadi, kepada yang menolak Rumah Bangsa dan menyertai gabungan politik berkenpengan peribadi ini perlu fikirkan semula nawaitu mereka meninggalkan UMNO.
.jpeg)