EXCO Melaka: Tugas Dr Akmal Masih Belum Selesai

Melaka Digest
By -
0

Keputusan melibatkan kepimpinan bukan sekadar soal individu tetapi soal kesinambungan tanggungjawab kepada rakyat. Dalam konteks ini, episod perletakan jawatan Dr Akmal sebagai EXCO Melaka bukanlah drama politik, jauh sekali sandiwara yang direka untuk meraih simpati. Ia adalah tindakan serius yang disusuli dengan bukti jelas. Dr Akmal menghantar surat rasmi perletakan jawatannya, pejabat dikosongkan dan tanggungjawab cuba dilepaskan secara teratur.


Namun, di sebalik tindakan tersebut, Kerajaan Negeri Melaka di bawah pimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh membuat keputusan yang lebih besar maknanya, menolak permohonan tersebut demi kepentingan rakyat.

Keputusan ini bukan dibuat secara semberono. Ia diputuskan melalui mesyuarat rasmi kerajaan negeri, mengambil kira realiti di lapangan bahawa portfolio Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan bukan sekadar jawatan tetapi nadi kepada kesejahteraan ribuan rakyat Melaka.

Di bawah portfolio ini, pelbagai inisiatif sedang berjalan dan memberi manfaat secara langsung kepada kelompok sasaran iaitu nelayan yang bergantung kepada kestabilan hasil laut, petani yang memerlukan sokongan berterusan, pengusaha pertanian yang sedang bangkit dalam ekosistem moden, serta komuniti Orang Asli yang sering terpinggir daripada arus pembangunan.

Lebih penting, agenda keterjaminan makanan negeri seperti projek “Beras Melaka” juga berada di bawah seliaan portfolio ini. Dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, isu sekuriti makanan bukan lagi pilihan tetapi keperluan strategik. Sebarang kekosongan kepimpinan dalam portfolio ini berisiko mengganggu kelancaran dasar, pelaksanaan projek, dan keyakinan pelabur serta pemain industri.

Realitinya, pentadbiran bukan boleh “pause” hanya kerana berlaku pertukaran individu. Jabatan-jabatan di bawah EXCO memerlukan arah tuju yang jelas, keputusan segera dan kesinambungan dasar. Tanpa kepimpinan yang stabil, segala usaha yang telah dirancang berisiko terbantut dan akhirnya yang terkesan adalah rakyat di peringkat akar umbi.

Dalam kerangka ini, keputusan kerajaan negeri menolak perletakan jawatan tersebut mencerminkan satu prinsip penting iaitu keutamaan kepada rakyat mengatasi sentimen politik. Ia juga menunjukkan bahawa kepimpinan bukan sekadar hak untuk melepaskan jawatan tetapi amanah yang perlu disempurnakan sehingga tanggungjawab benar-benar selesai.

Lebih daripada itu, situasi ini memberi mesej jelas bahawa politik matang menuntut keberanian membuat keputusan yang mungkin tidak popular tetapi tepat untuk kestabilan dan kesejahteraan jangka panjang.

Hakikatnya, tugas Dr Akmal masih belum selesai. Agenda pembangunan desa, transformasi sektor pertanian dan jaminan bekalan makanan memerlukan kesinambungan, komitmen, dan kepimpinan yang fokus.

Dalam politik, ada masa untuk berundur tetapi dalam soal amanah kepada rakyat, kadangkala yang lebih penting adalah untuk terus kekal dan menyempurnakan apa yang telah dimulakan.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)