Rumah Bangsa: Manifestasi Penyatuan dan Masa Depan UMNO - Azalina

Melaka Digest
By -
0

Di sebalik suara-suara sinis yang terus mempertikaikan gagasan “Rumah Bangsa”, UMNO kekal teguh dengan pendirian yang telah dibina sejak lebih lapan dekad lalu sebagai wadah utama yang memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air secara konsisten dan berterusan.


Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Dato Seri Azalina Othman Said melalui warkah terbukanya kepada seluruh ahli UMNO di seluruh negara menegaskan bahawa usaha penyatuan yang digerakkan parti bukanlah sesuatu yang baharu atau bermusim. Sebaliknya, ia adalah teras kepada perjuangan UMNO sejak penubuhannya dengan fokus utama menyatu dan memperkukuh kekuatan bangsa melalui pendekatan yang matang, inklusif dan bertanggungjawab.

Menurut beliau, konsep “Rumah Bangsa” bukan bahan politik retorik tetapi merupakan satu ruang penyatuan dan penerimaan yang terbuka. Ia memberi peluang kepada mereka yang pernah menjauh hati dengan UMNO, berbeza pandangan atau tersasar haluan untuk kembali menyumbang kepada perjuangan parti. Pendekatan ini mencerminkan kematangan politik UMNO dalam mendepani realiti semasa tanpa mengorbankan prinsip asas perjuangannya.

Dalam masa yang sama, gagasan ini turut membawa mesej penting kepada generasi baharu. UMNO, katanya, mesti terus relevan sebagai platform yang menerima kemasukan tenaga muda, idea segar dan kepimpinan pelapis. Hanya dengan keterbukaan ini, kesinambungan perjuangan parti dapat dipastikan dalam landskap politik yang semakin mencabar.

Beliau turut menegaskan bahawa kekuatan UMNO tidak pernah bergantung kepada individu semata-mata. Sebagai sebuah institusi yang berakar kukuh dalam masyarakat, kekuatan sebenar parti terletak pada akar umbi yang setia, berdisiplin dan komited. Dari struktur inilah lahir barisan kepimpinan yang silih berganti, meneruskan amanah tanpa pernah memutuskan kesinambungan perjuangan.

Sehubungan itu, Azalina menyeru agar budaya saling menyalahkan dihentikan. Fokus sebenar, tegas beliau, adalah kepada usaha membina, menyatu dan memperkasa parti. “Rumah Bangsa” dilihat sebagai manifestasi kepada pendekatan tersebut di mana ianya adalah sebuah rumah besar yang menghimpunkan semua pihak yang ikhlas untuk berjuang demi agama, bangsa dan negara.

Dengan semangat “Bersatu, Bersetia, Berkhidmat”, UMNO diyakini akan terus kekal sebagai payung yang memayungi dan menyatukan rakyat, selari dengan aspirasi perjuangan yang tidak pernah luntur.

Beliau turut mengucapkan selamat bersidang kepada seluruh cawangan UMNO di seluruh negara, sambil menzahirkan keyakinan bahawa kekuatan parti akan terus diperkukuh melalui kesepaduan dan disiplin ahli di semua peringkat.
 
BACA warkah Azalina di SINI 
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)