HAMZAH UNDUR DIRI: LANGKAH WAJAR, POLITIK KHIANAT TIADA TEMPAT DALAM PERIKATAN NASIONAL
Perletakan jawatan Hamzah Zainuddin sebagai Ketua Pembangkang merupakan langkah yang sewajarnya dan sudah lama dinantikan.
Hakikatnya, beliau telah hilang locus standi untuk terus memegang jawatan tersebut selepas dipecat daripada parti yang menjadi asas pelantikannya sebelum ini.
Jawatan Ketua Pembangkang bukan milik individu, tetapi mewakili kekuatan politik sesebuah gabungan. Seorang Ahli Parlimen yang tidak lagi berparti tidak wajar memegang kedudukan strategik itu kerana ia menimbulkan persoalan besar dari sudut legitimasi, mandat politik dan keabsahan kepimpinan dalam blok pembangkang.
Dalam konteks ini, perletakan jawatan tersebut bukan sahaja tepat, malah perlu bagi memulihkan kredibiliti institusi Ketua Pembangkang.
Blok pembangkang memerlukan kepimpinan yang jelas mandatnya, mempunyai sokongan parti, serta mampu menyatukan gabungan, bukannya individu yang menjadi punca polemik berpanjangan.
Penerangan Bersatu Negeri Melaka menyambut baik laporan media yang ditularkan berkaitan perkembangan ini. Sudah sampai masanya Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menampilkan seorang pemimpin yang layak, berwibawa serta mempunyai kedudukan politik yang kukuh bagi menggantikan Hamzah.
Kepimpinan pembangkang mesti diterajui oleh individu yang mampu membawa kestabilan, bukan mencetuskan kekeliruan.
Realitinya, politik khianat yang dikaitkan dengan Hamzah sememangnya tidak lagi mempunyai tempat dalam Perikatan Nasional. Segala kacau-bilau, ketegangan serta perpecahan yang berlaku sebelum ini tidak dapat dipisahkan daripada pendekatan politik beliau yang dilihat lebih cenderung mencetuskan konflik berbanding memperkukuh kesepaduan.
Perikatan Nasional memerlukan kepimpinan yang setia kepada perjuangan bersama, menghormati konsensus gabungan serta berdisiplin dalam membuat keputusan.
Sebaliknya, politik yang bersifat manuver peribadi, mencetuskan keraguan dan melemahkan gabungan hanya akan merugikan pembangkang secara keseluruhan.
Justeru, Hamzah bukan lagi pemimpin yang wajar diberi ruang dalam kepimpinan pembangkang. Masa depan Perikatan Nasional bergantung kepada kepimpinan baharu yang lebih stabil, berprinsip dan mempunyai mandat jelas daripada parti serta gabungan.
Peralihan ini juga penting bagi memastikan blok pembangkang terus relevan, tersusun dan mampu memainkan peranan semak imbang secara berkesan.
Kepimpinan yang jelas dan berlegitimasi akan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap fungsi Ketua Pembangkang sebagai institusi penting dalam sistem demokrasi negara.
Datuk Hishamuddin Abdul Karim
Ketua Penerangan Bersatu Negeri Melaka
Ketua Bahagian Bersatu Kota Melaka
.jpeg)