Ijtimak Melayu: Retorik Penyatuan Ciptaan PAS

Melaka Digest
By -
0


Himpunan Alam Melayu di Terengganu sepatutnya menjadi medan memperkukuh kesepakatan, bukan pentas untuk memutar naratif. PAS cuba menonjolkan kononnya merekalah juara penyatuan bangsa Melayu di himpunan tersebut tetapi ia sebenarnya membuka pekung sendiri. PAS hanya bersandiwara untuk meraih undi Melayu.


PAS menjadikan ketidakhadiran wakil UMNO dijadikan bahan serangan politik.

Hakikatnya, PAS menolak dan meremehkan usaha UMNO untuk satukan bangsa Melayu dari awal penubuhan mereka. Menghina perjuangan bangsa adalah wadah perjuangan PAS dari dulu. PAS melabelkan perjuangan UMNO untuk bangsa Melayu sebagai perjuangan nasionalisma, assobiyah yang tidak Islamik.

Ucapan Menteri Besar Kelantan, Mohd Nassuruddin Daud yang menyeru rakyat menolak pemimpin enggan bersatu tetapi apabila diteliti dalam konteks lebih luas, ia mencerminkan satu percanggahan dengan pendirian Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang secara terbuka menolak gagasan “Rumah Bangsa” yang diperkenalkan oleh Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Penolakan itu bukan sekadar berbeza pandangan, malah disertai sindiran yang merendahkan usaha penyatuan tersebut.

Berapa banyak ‘dalil’ ciptaan PAS untuk takutkan Melayu Islam sejak awal awal penubuhan PAS demi meraih undi supaya jangan menghampiri UMNO. Malah terkini, Presiden PAS, Hadi Awang melabel dan menghina usaha UMNO melalui inisiatif ‘Rumah Bangsa’. Antara kata-kata Hadi Awang:

“laksana berada di bawah payung buruk…”
“rumah yang tidak beratap… dimasuki hantu…”
“Rumah Bangsa ini… tidak berprinsip dan menyimpang”


Ini bukan kali pertama. Sejarah PAS menolak penyatuan dengan UMNO tidak boleh disembunyikan apabila PAS meninggalkan Muafakat Nasional, platform yang pada asalnya digagaskan untuk menyatukan Melayu tetapi PAS memilih laluan bersama Muhyiddin Yassin melalui Perikatan Nasional. Ironinya, hubungan dalam gabungan tersebut sendiri kini dilihat tidak stabil, memperlihatkan bahawa masalah sebenar bukan kekurangan platform tetapi kegagalan mengekalkan komitmen terhadap penyatuan.

Dalam masa yang sama, PAS terus menjadikan Amanah sebagai musuh politik utama, melabel parti itu sebagai pengkhianat sejak perpecahan 2015. Namun hakikatnya, kewujudan Parti Amanah Negara adalah manifestasi kepada krisis dalaman PAS sendiri, satu episod yang memperlihatkan bagaimana perbezaan tidak diurus, sebaliknya ditolak keluar.

Lebih menarik, ketika retorik penyatuan dimainkan, isu kebajikan rakyat jarang menjadi keutamaan dalam wacana yang sama. Selepas hampir empat dekad mentadbir Kelantan, cabaran asas seperti peluang pekerjaan, penghijrahan tenaga muda dan pembangunan infrastruktur masih ketinggalan. Ini menimbulkan persoalan sama ada naratif perpaduan benar-benar berasaskan kepentingan rakyat, atau sekadar strategi politik untuk mengekalkan sokongan yang semakin terhakis.

Di Himpunan Alam Melayu tersebut, PAS tidak mengambil peluang untuk menerangkan hala tuju perjuangan memartabatkan bangsa Melayu terutama mengangkat ekonomi Melayu di tahap yang digeruni. Sebaliknya PAS hanya menjadikan pentas himpunan tersebut sebagai pentas ceramah politik sahaja.

PAS lupa bahawa rakyat bukan sekadar menilai siapa yang hadir atau tidak hadir dalam sesuatu himpunan. Rakyat menilai rekod, konsistensi, keberanian untuk memimpin dengan prinsip dan membentangkan halatuju bangsa bagi mendepani cabaran dalam dunia yang semakin mencabar ini.
 

 
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)