Apa yang sedang berlaku dalam Perikatan Nasional (PN) hari ini bukan lagi sekadar kelewatan memilih Ketua Pembangkang. Ia sudah bertukar menjadi pendedahan terbuka tentang konflik dalaman yang semakin sukar disorok apabila Muhyiddin mula tampil menyuarakan ketidakpuasan hati.
Muhyiddin Yassin secara terbuka mempertikaikan mengapa seorang yang telah dipecat masih “berlegar-legar” menggunakan jawatan Ketua Pembangkang, ini bukan lagi isu prosedur, ini soal legitimasi. Dalam bahasa politik yang lebih jujur, ini soal siapa masih berkuasa dan siapa sudah hilang tempat tetapi belum bersedia berundur.
Ironinya, PN sering mengangkat imej sebagai gabungan yang stabil dan bersatu. Namun realiti yang terserlah hari ini adalah sebaliknya. Jawatan sepenting Ketua Pembangkang dibiarkan tergantung, seolah-olah tiada siapa yang benar-benar mampu memutuskan. Jika keputusan semudah ini pun memerlukan desakan terbuka daripada presiden sendiri, apa lagi keputusan yang lebih besar?
Dalam masa yang sama, Hamzah Zainuddin terus menjalankan peranan seolah-olah tiada apa yang berlaku. Walaupun tidak lagi bersama parti asal, beliau masih memegang posisi yang sepatutnya mencerminkan mandat jelas daripada gabungan.
Lebih menarik, kenyataan dari Muhyiddin bahawa “ini bukan hak Bersatu, bukan hak PAS, bukan hak mana-mana parti, ini hak PN” dengan jelas menunjukkan bahawa PN sendiri gagal bertindak sebagai satu entiti yang berfungsi. Jika benar ia milik bersama, mengapa keputusan tidak boleh dibuat bersama? Atau adakah “milik bersama” itu hanya sandiwara, bukan realiti?
Desakan supaya Setiausaha Agung menulis kepada Speaker Parlimen juga kedengaran terlalu mudah, sebenarnya tetapi PAS gagal menonjol sebagai ‘kepala’ di dalam gabungan PN.
