Jika Di Putrajaya Radzi Boleh Berjanji Kosong, Di Melaka Memang Mudah Lerr

Melaka Digest
By -
0

Pelantikan Radzi Md Jidin sebagai Ketua Badan Pimpinan BERSATU Melaka bulan lalu bukanlah tanda kekuatan parti itu semakin berkembang. Sebaliknya, ia lebih menyerlahkan hakikat bahawa BERSATU kini ketandusan tokoh tempatan yang benar-benar diyakini rakyat.


Apabila sebuah parti terpaksa membawa masuk wajah luar untuk mengetuai negeri yang pernah mereka cuba tawan, mesejnya jelas, akar umbi sendiri pun tidak cukup yakin dengan barisan sedia ada.

Radzi dipilih bukan kerana rekod cemerlang yang luar biasa, jauh sekali kerana pencapaian yang meninggalkan kesan mendalam. Beliau dibawa masuk kerana BERSATU memerlukan figura baharu untuk menutup semula jenama lama yang semakin hilang sambutan.

Namun sebelum rakyat Melaka teruja dengan retorik baharu, satu perkara kena tahu, apa yang beliau sudah buktikan di Putrajaya?

Ketika Pilihan Raya Umum lalu, Radzi tampil penuh yakin dengan dokumen bertajuk “50 Tawaran Dr. Radzi Jidin untuk Putrajaya”

Ia dipersembahkan seolah-olah pelan transformasi menyeluruh. Ada janji pembangunan, kemudahan rakyat, kebajikan komuniti dan pelbagai naratif masa depan yang indah. Pengundi diberi harapan. Undi pun diberi.

Tetapi selepas kemenangan, masa berlalu dan rakyat mula sedar sesuatu. Bukan 50 tawaran. Satu pun sukar dilihat terlaksana dengan nyata.

Dokumen yang dahulu diagung-agungkan akhirnya tinggal bahan kempen semata-mata, cantik dicetak, hebat dipersembahkan, kosong dalam pelaksanaan.

Jika 50 janji untuk kawasan sendiri pun gagal diterjemah, rakyat Melaka berhak tanya, apa jaminan negeri mereka tidak akan menerima nasib yang sama?

Apa yang dilihat di Putrajaya ialah seorang wakil rakyat yang lebih menonjol dalam percaturan parti berbanding penyelesaian isu rakyat. Sedangkan masyarakat mahukan pemimpin yang turun padang, mendengar masalah dan menyelesaikan urusan harian mereka.

Janji tanpa tindakan bukan kepimpinan. Ia sekadar persembahan.

Bezanya Dengan Ku Nan. Di Putrajaya, nama Tengku Adnan Tengku Mansor masih disebut kerana walaupun tidak lagi menjadi wakil rakyat, beliau terus kekal dekat dengan masyarakat.

Semasa menjadi Ahli Parlimen, isu perumahan penjawat awam, kemudahan komuniti dan jaringan setempat sentiasa diberi perhatian. Tidak semua sempurna tetapi wujud kesinambungan usaha dan rasa tanggungjawab.

Itulah beza antara pemimpin yang membina hubungan dengan rakyat dan ahli politik yang muncul hanya ketika musim undi.

Jangan dilupa, Radzi juga pernah memegang portfolio Menteri Kanan Pendidikan. Bidang yang menentukan masa depan generasi negara.

Namun apakah legasi besar yang benar-benar melekat?

Yang lebih diingati ialah dasar yang sering berubah, komunikasi yang mengelirukan, tekanan berterusan terhadap guru, serta pelajar yang seolah-olah menjadi bahan ujian polisi dari semasa ke semasa.

Jawatan besar bukan ukuran kejayaan. Jika selepas berundur rakyat masih tertanya-tanya apa sumbangan utama anda, itu petanda jawatan diisi tetapi amanah tidak benar-benar dipenuhi.

Kini Melaka pula jadi sasaran. Mengapa tiba-tiba Melaka?

Jawapannya mudah.

Putrajaya sudah mengenali rekod beliau. Maka politik sentiasa mencari pentas baharu, tempat yang belum merasa sendiri beza antara janji di pentas dan hasil di lapangan.

Melaka, negeri bersejarah dan bermaruah, kini cuba dijadikan medan baharu tempat menabur janji semata-mata. Jadi apabila Radzi Jidin kini muncul di Melaka, soalnya bukan lagi apa yang beliau boleh buat.

Soalnya ialah: Apa yang belum beliau tunaikan?

Kerana sehingga hari ini, Putrajaya masih menunggu 50 janji yang pernah dijual dengan penuh bergaya.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)