Kesan Apabila Wakil Rakyat Menabur Fitnah

Melaka Digest
By -
0
Kes terbaru, klik di SINI

Terlalu mudah hari ini bagi segelintir wakil rakyat bermain politik murahan. Lepaskan dahulu kenyataan berunsur fitnah, biarkan penyokong menyerang habis-habisan, kemudian apabila kebenaran terbongkar, cukup sekadar tampil dengan ucapan “mohon maaf”.


Adakah satu permohonan maaf mampu memadam segala kerosakan yang telah berlaku?

Kenyataan palsu yang dilemparkan pada awalnya biasanya bergerak jauh lebih pantas daripada penjelasan sebenar. Ia dipetik portal, dikongsi ribuan kali di media sosial, dijadikan bahan ceramah, malah menjadi peluru untuk para penyokong melemparkan makian, cercaan dan tuduhan keji terhadap individu yang difitnah.

Apabila keadaan sudah menjadi keruh, maruah seseorang sudah tercalar, keluarga turut terkesan, barulah muncul permohonan maaf yang ringkas dan hambar. Sedangkan luka yang ditinggalkan bukan kecil.

Lebih membimbangkan, algoritma media sosial tidak berfungsi secara adil. Mereka yang melihat fitnah asal belum tentu akan melihat permohonan maaf. Ertinya, ramai akan terus percaya kepada pembohongan pertama, manakala penjelasan sebenar tenggelam tanpa jejak.

Fitnah yang sudah tersebar ibarat abu ditiup angin. Mudah dilepaskan, hampir mustahil dikutip semula.

Berapa ramai pula yang sudah terjebak menghamburkan cacian berdasarkan maklumat palsu? Berapa ramai yang menanggung dosa memfitnah, memaki dan memburukkan orang lain kerana terpengaruh dengan kenyataan tidak benar seorang pemimpin?

Sebab itu, wakil rakyat sepatutnya menjadi contoh integriti, bukan pencetus kebencian. Kuasa mikrofon, jawatan dan pengaruh bukan lesen untuk bercakap sesuka hati tanpa semakan fakta.

Jika benar tersilap, permohonan maaf itu wajib tetapi ia tidak pernah cukup untuk memulihkan sepenuhnya kerosakan yang telah berlaku.

Rakyat berhak menilai pemimpin yang gemar menabur fitnah demi keuntungan politik bukan sedang memimpin negara ke depan tetapi sedang merosakkan budaya demokrasi dengan tangan sendiri.
 
Paling memalukan ialah apabila membawa kes ke mahkamah sedangkan ianya boleh terus memohon maaf jika sedar bahawa apa yang diucapkan itu adalah fitnah. 
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)