Lagi Pemimpin Utama Tinggalkan Bersatu

Melaka Digest
By -
0

Gelombang perpecahan dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dilihat semakin sukar dibendung apabila seorang lagi tokoh utama parti tersebut, Tan Sri Rais Yatim, mengesahkan beliau telah meninggalkan parti itu secara rasmi pada 15 April lalu.


Pengunduran veteran politik berpengalaman luas itu bukan sekadar pemergian seorang ahli biasa, tetapi isyarat jelas bahawa keyakinan terhadap masa depan Bersatu semakin merosot, khususnya dalam kalangan pemimpin lama yang pernah membantu membina kekuatan parti tersebut.

Rais memaklumkan bahawa beliau telah melepaskan semua jawatan dalam parti sejak Februari, sebelum mengambil keputusan muktamad untuk berundur sepenuhnya. Menurut beliau, fokus kini akan diberikan kepada gerakan badan bukan kerajaan (NGO), sekali gus menandakan peralihan daripada politik kepartian kepada perjuangan masyarakat sivil.

Langkah itu membawa mesej besar apabila tokoh berpengalaman memilih meninggalkan parti dan bergerak di luar sistem politik, ia memberi gambaran bahawa ruang pembaikan dalam parti tersebut semakin sempit.

Rais secara terbuka mengkritik keadaan dalaman Bersatu yang menurutnya semakin parah dan hilang arah.

“Segala-galanya dalam BERSATU sudah berpecah, kecuali namanya,” katanya.

Ungkapan sinis itu menggambarkan krisis dalaman yang serius apabila struktur parti retak, kepimpinan dipersoal dan semangat perjuangan asal dilihat semakin pudar.

Umum mengetahui konflik dalaman Bersatu kini dikaitkan dengan perebutan pengaruh antara Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kem yang dikaitkan dengan Datuk Seri Hamzah Zainudin. Pergeseran berpanjangan itu dilihat melemahkan parti dari dalam ketika rakyat menuntut pembangkang yang lebih tersusun dan kredibel.

Menurut Rais, keadaan itu akan menjadi lebih sukar apabila ramai Ahli Parlimen dilihat cenderung menyokong kem tertentu.

“Saya rasa Bersatu sukar untuk bertahan dalam keadaan sekarang,” katanya lagi.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)